PETALING JAYA: Universiti Multimedia (MMU) bakal menganjurkan Pameran Kerjaya MMU 2022 atau lebih dikenali sebagai “MMU Career Fair 2022” dengan slogan, ‘The home of your dream job.’
Acara hibrid itu bakal berlangsung dari 7 hingga 11 Februari ini bermula pukul 10 pagi hingga 5
petang, bertempat di Studio Fakulti Seni Sinematik dan akan disiarkan secara langsung serentak di laman web Graduan Connect.
Menurut MMU, acara itu memainkan peranan sangat besar sebagai platform pembangunan masa depan yang lebih cerah serta perkongsian peluang kerjaya khusus kepada mahasiswa MMU dan masyarakat umum.
“MMU Career Fair 2022 juga menyediakan ruang kepada syarikat yang mengambil bahagian dalam acara ini untuk mengadakan sesi pengambilan pekerja dalam kalangan mahasiswa cemerlang yang dapat membantu meningkatkan tenaga kerja syarikat.
“Dengan penglibatan lebih 30 syarikat dan rakan kongsi dalam acara berskala-besar ini, kami menjangkakan 3,000 pelawat akan hadir dalam kalangan yang mahir dalam jurusan pengurusan, perniagaan, undang-undang, kejuruteraan, teknologi maklumat, komunikasi, kewangan, multimedia kreatif dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan.
Acara itu bakal dihadiri Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MMU, Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd. Su’ud.
Pengarah MMU Career Fair 2022, Bryan Yeap Yee Kuong berkata, adalah sangat mengecewakan apabila seseorang yang mempunyai semangat sangat tinggi untuk bekerja tetapi tidak dapat mencari pekerjaan.
“Oleh hal yang demikian, saya dan pasukan saya berharap dengan penganjuran MMU Career Fair 2022, para mahasiswa, graduan serta pencari kerja boleh memperoleh peluang untuk mendapatkan pekerjaan dan pada masa yang sama mengatasi cabaran pengangguran,” katanya.
Bagi menarik lebih ramai pengunjung, acara itu bakal mengadakan sesi cabutan bertuah kepada pengunjung untuk memenangi cenderamata eksklusif. – UTUSAN










