Volvo Car Malaysia komited wujudkan budaya kerja kondusif - Utusan Malaysia

Volvo Car Malaysia komited wujudkan budaya kerja kondusif

VOLVO Car Malaysia sentiasa menitikberatkan hubungan kekeluargaan kakitangannya. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

MUKADIMAH

Persekitaran kerja yang kondusif, tidak menekan, mampu memberi impak positif kepada prestasi seseorang pekerja, lebih-lebih lagi dalam suasana pandemik.

Menyedari pentingnya perkara itu, syarikat pengeluar kenderaan terkemuka Volvo Cars telah memperkenalkan polisi Family Bond (ikatan kekeluargaan) dan parental leave (cuti ibu bapa) kepada kakitangannya yang berkelayakan.

Pengarah Bahagian Pengalaman Manusia Volvo Car Malaysia, REMA CHETTY berkongsi mengenai pelaksanaan polisi terbabit bersama Utusan Malaysia dalam satu temu bual melalui e-mel, baru-baru ini.

REMA CHETTY

UTUSAN: Boleh terangkan secara ringkas polisi Family Bond (ikatan kekeluargaan) dan parental leave (cuti ibu bapa) yang diperkenalkan oleh Volvo Cars?

REMA CHETTY: Di bawah polisi baharu Family Bond yang diperkenalkan ini, setiap pekerja Volvo Cars (dengan tempoh perkhidmatan sekurang-kurangnya satu tahun) berhak mendapat cuti sehingga 24 minggu dengan bayaran gaji 80 peratus daripada gaji asas.

Polisi ini akan dilaksanakan atas kedua-dua ibu bapa dan boleh diambil dalam masa tiga tahun pertama berkeluarga.

 

Apakah yang mendorong Volvo Cars memperkenalkan polisi tersebut?

Sebagai sebuah syarikat yang mengutamakan pekerjanya, Family Bond bukan sekadar polisi cuti ibu bapa baharu, ia merupakan satu perwujudan budaya dan nilai di dalam syarikat kami.

Kami mahu mencipta satu budaya yang menyokong keibubapaan yang setara untuk kedua-dua ibu bapa. Apabila ibu bapa disokong untuk menyeimbangkan permintaan kerjaya dan keluarga, ia membantu merapatkan lagi jurang jantina dan membolehkan semua orang memperoleh pencapaian cemerlang di dalam karier mereka.

 

Apakah keistimewaannya dan sejauh mana ia memberi manfaat kepada pekerja?

Kami percaya bahawa pembangunan seseorang pekerja dan kekeluargaannya amat penting dalam menentukan kejayaan mereka secara tidak langsung. Melalui polisi ini, kami hendak pekerja-pekerja kami tahu bahawa kami akan sentiasa sedia untuk memberi segala sokongan, demi kejayaan mereka, biarlah kejayaan persendirian atau profesional.

Kami mahu memulangkan masa kepada ibu bapa baharu, supaya mereka dapat meluangkan masa bersama anak mereka, berehat dan menjaga anak-anak yang lain, pada masa yang sama isteri atau ibu dapat rehat yang secukupnya.

Tambahan pula, kami telah menjadikan pengambilan cuti selama 24 minggu tersebut sebagai pra-pilihan. Melalui polisi ini, kami dapat menolong para pekerja kami dalam mengatasi segala tekanan yang mereka lalui, seperti masalah kewangan dan pendapatan mereka akan terjejas. Kesannya, pekerja kami dapat menjaga ahli keluarga mereka dengan penuh hati dan kembali ke kerja dengan penuh semangat.

Secara tidak langsung, jika ibu bapa yang bekerja berasa disokong oleh majikannya, dari sudut kewangan, ataupun waktu kerja yang fleksibel dengan cuti bergaji ini, mereka akan lebih berusaha dan bekerja di bawah syarikat tersebut dengan lebih lama.

Inilah hasil yang kami hendak dicapai sebagai sebuah syarikat yang mementingkan keluarga dan rakan-rakan sekerja kami.

 

Berapa ramai pekerja di Malaysia menerima manfaat itu?

Sehingga hari ini, hanya seorang pekerja telah memaklumkan bahawa dia akan menerima manfaat polisi ini, kerana isterinya telah bersalin Jun lalu.

 

Adakah pelaksanaannya terhad semasa pandemik atau bagaimana?

Inisiatif ini tiada sebarang batasan, dan pekerja mempunyai kebebasan untuk menggunakan manfaat polisi ini dalam tempoh tiga tahun sejak kelahiran anak.

 

Sejauh mana pandemik memberi kesan kepada operasi dan prestasi syarikat di Malaysia? Ada melaksanakan pengurangan pekerja?

Sejak pandemik ini bermula pada tahun lepas, Volvo Car Malaysia telah menyarankan pekerja-pekerja kami untuk bekerja dari rumah sehingga hari ini. Prestasi syarikat kami masih kukuh, contohnya, pada tahun lepas, kami telah mencapai peningkatan dalam jualan keseluruhan berbanding tahun sebelumnya. Kami juga sedang berusaha untuk mencapai keputusan yang lebih positif.

 

Kesan pelaksanaan polisi kepada operasi syarikat?

Setakat ini, respons yang kami terima daripada pekerja-pekerja kami adalah positif. Semestinya kami berharap polisi ini akan membawa manfaat kepada pekerja kami dalam masa yang akan datang, dan kami sentiasa bersedia untuk mendengar segala maklum balas yang mereka ada.

 

Harapan dengan pelaksanaan polisi ini?

Kami berharap bahawa Family Bond akan menjadikan pekerja kami sebagai duta syarikat dalam mengukuhkan lagi komitmen Volvo Cars sebagai sebuah syarikat yang bertanggungjawab terhadap pekerjanya, termasuk para ibu bapa.

Pada masa yang sama, kami percaya bahawa polisi ini boleh menyumbang dalam menarik bakat-bakat daripada semua kategori, lalu mempergiatkan lagi usaha kami bagi mendapatkan faedah pekerja yang kompetitif dalam budaya positif kami.

Secara perlahan tapi pasti, kami mahu memimpin perubahan di dalam industri ini dan menetapkan satu standard global baharu. Dengan memberikan pilihan cuti berbayar kepada golongan pekerja, kami dapat merapatkan jurang jantina, meningkatkan prestasi serta memperkukuhkan perniagaan kami. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×