PETALING JAYA: Seramai 768,700 orang menganggur pada Jun lalu, peningkatan sebanyak 40,600 orang atau 5.6 peratus daripada 728,100 orang bulan sebelumnya.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, kadar tersebut pertama kali meningkat selepas merekodkan penurunan bagi tempoh empat bulan berturut-turut sebelum ini.
Kata beliau, pada bulan tersebut, bilangan penduduk bekerja menurun sebanyak 0.5 peratus kepada 15.30 juta daripada 15.37 juta pada Mei, dengan nisbah guna tenaga kepada penduduk jatuh sebanyak 0.4 mata peratus kepada 65 peratus.
“Secara tahun ke tahun, kadar pengangguran menurun sebanyak 0.1 mata peratus berbanding 4.9 peratus pada Jun 2020, manakala bilangan penduduk bekerja berkurang sebanyak 4,600 orang berbanding 773,200 orang pada Jun 2020,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut Mohd. Uzir, kedudukan tenaga buruh pada Jun berdepan dengan cabaran ketika negara terus berusaha untuk melandaikan peningkatan kes harian baharu Covid-19.
Beliau menjelaskan, lonjakan kes harian membawa kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh pada bulan tersebut yang mana hanya sektor ekonomi dan perkhidmatan penting yang dibenarkan beroperasi.
Pada Jun juga, ujar Mohd. Uzir, tenaga buruh mengalami penurunan daripada 16.10 juta orang pada Mei kepada 16.07 juta orang apabila sebahagian tenaga buruh telah beralih kepada kumpulan tidak aktif.
Jelas beliau, penurunan dalam tenaga buruh itu adalah yang pertama direkodkan sejak April 2020 menjadikan kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) yang lebih rendah dicatatkan iaitu pada 68.3 peratus.
“Bilangan penduduk bekerja mengikut sektor ekonomi pada Jun menunjukkan kesemua sektor ekonomi mencatatkan penurunan guna tenaga dengan sektor perkhidmatan merekodkan pengurangan bulan ke bulan buat pertama kalinya setelah mencatatkan peningkatan selama 12 bulan.
“Pada masa yang sama, berikutan pelaksanaan PKP Penuh sepanjang Jun, bilangan penduduk bekerja yang tidak bekerja buat sementara waktu meningkat dengan ketara sebanyak 661,400 orang kepada 801,100 orang berbanding 139,600 orang pada Mei.
“Situasi sama juga pernah dialami ketika pelaksanaan pertama PKP tahun lepas yang mana berlaku peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja yang tidak bekerja buat sementara waktu,” katanya.
Mohd. Uzir berkata, ekonomi dan pasaran buruh akan terus mengalami momentum pemulihan yang tidak menentu sekiranya krisis kesihatan yang dihadapi negara berterusan.
Beliau berkata, imuniti kelompok adalah penting ke arah langkah-langkah pengekangan yang lebih longgar sekali gus membolehkan perniagaan meneruskan operasi.
“Selaras dengan pecutan Program Vaksinasi Covid-19 Nasional, ia akan meningkatkan keyakinan isi rumah dan perniagaan bagi merangsang kegiatan ekonomi.
“Tambahan pula, pelbagai inisiatif turut dilaksanakan bagi menyokong kelangsungan perniagaan melalui Pakej Pelindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih). Dengan kedua-dua program ini, aktiviti ekonomi dan pasaran buruh akan pulih, tidak mengambil kira situasi jangkitan varian baharu Covid-19 yang lebih berbahaya,” katanya. – UTUSAN










