TNB bantu mangsa kebakaran - Utusan Malaysia

TNB bantu mangsa kebakaran

KEADAAN rumah Yusni Mohd. Sharif di Taman Seri 12, Kampung Batu 12 Kapar, Klang, Selangor, yang musnah dalam kebakaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Berhad (TNB), TNB Power Generation Sdn. Bhd. (TNB Genco), telah menyumbang RM30,000 bagi membantu tiga keluarga mangsa kebakaran di Taman Seri 12, Kampung Batu 12 Kapar, Klang, Selangor.

TNB Genco menyumbang wakalah zakat sebanyak RM10,000 bagi mangsa iaitu Yusni Mohd Sharif, 55; Siti Atikah Ibrahim, 33, dan Abdul Muiz Ahmad Safari, 28, yang tinggal di kawasan kejiranan Stesen Janaelektrik Sultan Abdul Aziz Shah di Kapar milik anak syarikat TNB Genco, Kapar Energy Ventures (KEV) Sdn. Bhd.

Pengarah Urusan TNB Genco, Datuk Nor Azman Mufti berkata, sumbangan tanda keprihatinan syarikat terhadap masyarakat sekitar, terutama mereka yang diuji dengan cabaran di kala wabak COVID-19 sedang memuncak.

“TNB sentiasa peka terhadap masyarakat di sekitar kawasan kejiranan di mana ia beroperasi. Nasib mereka yang menjadi mangsa kebakaran ini perlu dibantu lebih-lebih lagi dalam suasana yang begitu mencabar kini,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, bantuan TNB kepada mangsa memberi isyarat bahawa syarikat korporat itu tidak mengejar keuntungan semata-mata, tetapi turut mengambil tanggungjawab berkongsi keuntungan dengan masyarakat melalui sumbangan-sumbangan seumpama itu.

“Sumbangan adalah tepat pada masanya mengambil kira kesusahan rakyat berdepan pandemik Covid-19, terutama bagi ketiga-tiga mangsa kebakaran,” katanya dalam majlis pertemuan secara maya antara TNB dan mangsa kebakaran yang diadakan baru-baru ini.

Dalam kebakaran pada 12.30 tengah hari 4 Mac lalu itu, kediaman Siti Atikah dan Yusni musnah sepenuhnya, manakala kediaman Abdul Muiz mengalami kerosakan pada bahagian hadapan.

“Saya berterima kasih dengan sumbangan TNB yang amat bermakna ini untuk membiayai kos baik pulih rumah yang musnah.

“Sumbangan ini memberikan semangat baharu kepada saya, lebih-lebih lagi dengan cabaran membesarkan dua orang anak yang masih kecil,” kata Siti Atikah yang bekerja sebagai kerani.

Bagi Abdul Muiz,, meskipun hanya sebahagian rumahnya terjejas dalam bencana itu, bantuan yang diberikan TNB amat bermakna buat dia sekeluarga.

“Sumbangan itu amat membantu saya dalam membiayai kos baik pulih rumah dan saya sangat berterima kasih kepada semua pihak khususnya TNB,” katanya juga seorang kerani. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN