MAG boleh kaji model perniagaan - Utusan Malaysia

MAG boleh kaji model perniagaan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysian Aviation Group Berhad (MAG) boleh mengkaji model bisnes syarikat-syarikat penerbangan di seluruh dunia yang telah dirombak mengikut kesesuaian ekonomi semasa.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, antara bisnes yang boleh ditumpu oleh MAG ialah penerbangan penghantaran kargo udara.

“Kebanyakan syarikat-syarikat penerbangan tidak lagi membuat pembelian pesawat buat masa ini melainkan menerusi sistem pajak.

“Oleh itu, MAG boleh menumpukan kepada bisnes tanpa perlu mempunyai aset besar yang turut memberi kesan kepada kos operasi, mempunyai susut nilai yang tinggi sekali gus menjejaskan keuntungan syarikat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, MAG mengesahkan mengeluarkan tender penjualan enam pesawat Airbus A380 kepada pihak yang berminat pada 12 Julai lalu.

MAG dalam kenyataan berkata, tender itu dibuka sehingga 12 Ogos ini adalah untuk penjualan keseluruhan pesawat atau bahagian komponen.

Ia berikutan keputusan kumpulan untuk melepaskan pesawat A380 selepas penstrukturan semula selesai pada Mac lalu.

Mengulas perkara itu, Aimi berkata, keputusan MAG adalah betul untuk melepaskan aset yang tidak lagi produktif dan sekiranya dikekalkan akan terus memberi kesan kepada masalah kewangan syarikat.

Ujarnya, pesawat itu sudah tidak mempunyai nilai ekonomi kerana saiznya yang besar, kos penyelenggaraan tinggi, penggunaan minyak banyak serta penggunaan teknologi yang bukan terkini.

“Sejak 2019, syarikat Airbus telah mengumumkan untuk tidak lagi mengeluarkan pesawat A380. Walaupun teknologinya masih relevan, tetapi model bisnes syarikat penerbangan sudah mula berubah.

“Semenjak pandemik Covid-19 mula melanda, industri penerbangan menjadi malap. Itulah yang dialami oleh MAG yang telah membuat keputusan untuk menjual pesawat-pesawat A380nya itu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, keputusan MAG untuk menjual A380 bukan sesuatu yang janggal atau menghairankan.

Malah katanya, syarikat penerbangan Thailand dan beberapa syarikat penerbangan lain juga memilih untuk menjual pesawat itu bagi mengelakkan lebih banyak kerugian.

Katanya, mengambil kira iklim ekonomi semasa, sememangnya harga yang bakal ditawar pembeli bukanlah yang terbaik.

“Namun, lebih lama ia disimpan, akan menyebabkan susut nilai dan kos penyelenggaraan yang lebih besar,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN