BAT Malaysia catat untung operasi lebih tinggi  - Utusan Malaysia

BAT Malaysia catat untung operasi lebih tinggi 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: British American Tobacco (Malaysia) Berhad (BAT) mencatatkan keuntungan operasi lebih tinggi pada suku kedua tahun ini iaitu sebanyak RM193 juta, peningkatan 25 peratus daripada RM154 juta suku yang sama tahun lalu.

Kumpulan itu turut merekodkan pendapatan lebih tinggi sebanyak 13 peratus atau RM135 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.

Lembaga Pengarah BAT Malaysia juga telah mengisytiharkan dividen interim kedua, RM24.0 sen setiap saham biasa, membabitkan jumlah pembayaran RM69 juta kepada pemegang sahamnya pada 20 Ogos ini.

Pengarah Urusan BAT Malaysia, Jonathan Reed berkata, syarikat telah menunjukkan peningkatan yang ketara di semua metrik utama.

“Bagi separuh pertama tahun ini, kami telah memperoleh keuntungan operasi berjumlah RM193 juta berikutan pertumbuhan kuantiti jualan domestik meningkat 14 peratus, mengatasi keseluruhan kadar pemulihan industri sebanyak 12 peratus.

“Pertumbuhan itu juga mendorong peningkatan pendapatan kami sebanyak 13 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Ujarnya, perbezaan pertumbuhan kuantiti dan pendapatan itu berbanding tempoh sama tahun lalu, mencerminkan kesan persekitaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berbeza serta usaha kerajaan yang perlahan dalam menangani pasaran gelap tembakau.

Reed menjelaskan, walaupun terdapat tanda-tanda yang menunjukkan langkah-langkah yang dilaksanakan dalam Belanjawan 2021 mempunyai kesan positif, tetapi tahap rokok haram dalam negara masih kritikal dengan lebih 57.9 peratus pasaran tembakau dikuasai oleh sindiket.

“Sebagai respon terhadap langkah-langkah yang mengehadkan aktiviti ‘transhipment’ rokok kepada pelabuhan tertentu sahaja, geng-geng itu telah mengalihkan operasi mereka kepada penyeludupan pantai.

“Jadi, kerajaan perlu meningkatkan penguatkuasaan anti penyeludupan di kawasan pesisir,” katanya.

Beliau turut  menekankan, bagi mengatasi pasaran gelap tembakau dengan berkesan, penguatkuasaan harus disertakan dengan langkah-langkah untuk menangani tekanan kemampuan pengguna.

Katanya, pasti ada penyelesaian untuk mengatasi masalah perbezaan harga yang ketara antara produk sah yang mahal dan produk pasaran gelap yang murah.

Jumlah bahagian pasaran syarikat itu adalah 52.4 peratus, meningkat 1.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Portfolio BAT Malaysia telah berkembang di semua segmen dengan pertumbuhan Dunhill sebanyak 2.7ppt di segmen Premium, Peter Stuyvesant dan Pall Mall sebanyak 1.0ppt di segmen Aspirasi Premium dan Rothmans dan KYO sebanyak 4.4ppt dalam segmen nilai untuk wang (VFM).

“Selain usaha yang berterusan untuk menghapuskan pasaran gelap tembakau, kerajaan juga perlu memperkenalkan peraturan rangka kerja untuk produk nikotin.

“Peraturan akan menjaminkan kualiti dan keselamatan kepada 1.1 juta rakyat Malaysia yang menggunakan rokok elektronik (vape).

“Ia juga akan mewujudkan sumber pendapatan baharu yang signifikan untuk kerajaan. Sebagai sebahagian daripada objektif kami untuk membina ‘A Better Tomorrow’, kami akan menyokong pengesahan vape kategori nikotin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN