MTEM cadang PKPD untuk sektor perkilangan - Utusan Malaysia

MTEM cadang PKPD untuk sektor perkilangan

Asrama pekerja kilang sarung tangan Top Glove pernah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan penularan kes Covid-19 membabitkan pekerjanya. -UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menyokong saranan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) untuk sektor perkilangan yang dilihat punca penularan Covid-19 utama di negara ini.

Felo Kanannya, Ahmad Yazid Othman berkata, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pula yang ‘dihukum’ apabila aktiviti perniagaan mereka disekat sedangkan kilang-kilang masih boleh beroperasi.

Kata beliau, kebanyakan kluster jangkitan datang dari sektor perkilangan dan perumahan pekerjanya yang berkemungkinan tinggi tidak mencapai piawaian dan pematuhan sepenuhnya terhadap Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990.

“Ini amat tidak patut kerana syarikat yang memiliki kilang-kilang besar itu yang sebenarnya meraih keuntungan besar atau mempunyai kapasiti kewangan yang lebih kukuh.

“Ini melahirkan tanda tanya sama ada kepentingan modal besar berleluasa mempengaruhi dasar dan penguatkuasaan menangani wabak Covid-19 yang menganaktirikan peniaga-peniaga kecil yang lebih memberi sara hidup kepada lebih ramai pekerja tempatan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Kenyataan MTEM tersebut sokongan terhadap saranan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) yang antara lain mencadangkan PKPD bersasar untuk kilang-kilang yang menjadi punca penularan Covid-19 dan pengenalan moratorium bagi pinjaman serta sewaan dan subsidi upah selama enam bulan sehingga 31 Oktober.

Tambah Ahmad Yazid, kerajaan turut boleh memberikan pakej bantuan kewangan kepada rakyat yang terkesan dengan memberi contoh Dana Sara Hidup Covid 3.0 berjumlah RM8 bilion yang dapat membantu sejumlah enam juta orang dengan bantuan sebanyak RM1,200 sebulan.

Kata beliau, bantuan juga boleh disalurkan melalui subsidi upah di bawah kelolaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi mereka yang layak.

“Jika moratorium enam bulan bermula Jun hingga September melibatkan semua jenis pinjaman perbankan, peminjam wang berlesen dan pinjaman kredit termasuk kad kredit tidak mampu dilaksanakan, kerajaan mesti mempertimbangkan moratorium secara bersasar selama 12 bulan yang terhad pada nilai pinjaman untuk kenderaan berharga di bawah RM150,000; nilai hartanah di bawah RM1.5 juta dan semua pinjaman di bawah RM100,000 tanpa kenaikan bunga.

“Sudah tiba masa kerajaan mendengar suara rakyat demi rakyat dan bukan akur dengan kepentingan pihak bank atau taksub kepada pandangan agensi penarafan antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN