INSPIRASI NIAGA
KAJANG: Krisis ekonomi dan kesihatan yang dibawa Covid-19 bukan bermakna sesebuah perniagaan tidak boleh berkembang untuk mencapai aras lebih tinggi.
Kici Kasri, 39, agak bertuah kerana memilih untuk menceburi perniagaan dalam sektor logistik yang merupakan antara sektor yang semakin kukuh serta berdaya tahan ketika pandemik, terutamanya bagi memenuhi keperluan gaya hidup norma baharu sekarang.
Memanfaatkan peluang yang timbul, Kici berkata, syarikat Nizaf Mover & Logistics Sdn. Bhd. (Nizaf Mover) yang diasaskannya pada Januari 2015 sedang mengintai peluang untuk mengembangkan sayap ke pasaran luar negara, dengan fokus rantau ASEAN.
“Langkah pertama kami ialah menjadi ahli Asia Relocation Association yang berpangkalan di Singapura, ia memberi platform untuk membentuk kerjasama baharu dengan syarikat serupa di negara ASEAN lain, terutamanya melibatkan penerimaan dan penghantaran barangan.
“Buat masa ini, Nizaf Mover telah pun memiliki pelanggan tetap di Indonesia yang kerap menggunakan perkhidmatan kami untuk menghantar barangan ke negara ini terutamanya perabot dan kelengkapan rumah,” katanya ketika ditemui di ibu pejabatnya di sini baru-baru ini.
Permulaan kecil
Sama seperti kebanyakan perniagaan lain, Nizaf Mover bermula secara sederhana dengan penubuhan pejabat pertamanya di Kuantan, Pahang.
Ia dibina berbekalkan semangat keusahawanan dan keinginan Kici untuk melihat sebuah syarikat logistik yang dimiliki serta diuruskan oleh bumiputera bersaing dalam ekosistem perniagaan yang secara tradisinya dikuasai oleh kaum lain.
Perniagaan teras Nizaf Mover melibatkan penghantaran barangan pintu ke pintu, terutamanya bagi tujuan berpindah untuk individu, syarikat korporat serta agensi kerajaan.
Perkhidmatan yang disediakan lengkap dan komprehensif dengan penyediaan kemudahan pembungkusan, penyimpanan di gudang dan pengangkutan menerusi darat, air mahupun udara.
“Industri logistik ini amat kompetitif, jadi sekiranya kami dapat terus memberikan perkhidmatan yang baik dan diyakini pada harga yang kompetitif, Nizaf Mover akhirnya mampu menjadi jenama pilihan pengguna.
“Nizaf Mover kini memiliki enam cawangan termasuk di Kota Kinabalu, Johor Bahru, Ipoh dan Kuching dengan kekuatan 40 orang kakitangan.
“Kami berhasrat untuk memiliki sekurang-kurangnya sebuah cawangan di setiap negeri sama ada dibuka sendiri atau menerusi kolaborasi dengan pihak lain. Faktor jarak amat penting dalam perniagaan ini,” katanya.
Faktor online
Antara strategi yang digunakan Kici bagi mengembangkan perniagaannya adalah dengan memanfaatkan platform dalam talian terutamanya bagi tujuan pemasaran.
Selain laman web untuk pengguna di nizafmover.my dan laman korporat di nizafmover.com, syarikat turut melabur bagi tujuan pemasaran digital menerusi Google Ads selain memiliki akaun di laman sosial Facebook, Instagram, YouTube dan TikTok.
Nizaf Mover juga mempunyai kedai dalam talian di platform Shopee, yang menjual pelbagai peralatan bagi tujuan pembungkusan seperti kotak dan pembalut yang sedikit sebanyak memperluas lagi kehadiran syarikat.
“Ketika musim pandemik ini, kami melihat perniagaan e-dagang meningkat dengan pesat, jadi Nizaf Mover telah memulakan perkhidmatan hujung ke hujung bagi menyokong perniagaan ini bermula daripada pengambilan stok, penyimpanan, pembungkusan sehinggalah menghantarnya ke rumah pelanggan.
“Jadi peniaga yang berminat menjadi pelanggan kami boleh memfokuskan tenaga mereka untuk membuat kerja-kerja pemasaran selain meningkatkan kualiti produk bagi yang menghasilkan produk mereka sendiri,” katanya. – UTUSAN










