Tokoh Bank Islam Terbaik Asia Pasifik - Utusan Malaysia

Tokoh Bank Islam Terbaik Asia Pasifik

MOHAMED Rafique Merican
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sumbangan besar kepada industri kewangan Islam di rantau ini memboleh­kan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Berhad (Maybank Islamic), Datuk Mohamed Rafique Merican dianugerahkan Tokoh Bank Islam Terbaik Asia Pasifik oleh Asset Triple A Awards 2020, baru-baru ini.

Maybank Islamic turut memenangi empat anugerah lain iaitu Bank Islam Terbaik dalam kategori Asia Pasifik, Malaysia dan Singapura serta Bank Runcit Terbaik di Malaysia.

Pengiktirafan tahunan pa­ling berprestij bagi penghargaan kepada industri perbankan, kewangan, perbendaharaan dan pasaran modal dibuat oleh oleh majalah kewangan Triple A berpusat di Hong Kong.

Mohamed Rafique menyandang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sejak Julai 2016 dan pernah dilantik sebagai CEO Kumpulan, Perbankan Islam Maybank yang menyaksikan peranannya dalam kepimpinan kepada pertumbuhan francais dan pengembangan wilayah Perbankan Islam kumpulan berkenaan.

Maybank Islamic membuka cawangan luar negara pertamanya di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Julai 2019 dan menjadi bank Islam Malaysia pertama yang mempunyai kemunculan di luar negara.

Ujar Mohamed Rafique, anugerah Tokoh Bank Islam Terbaik dianugerahkan kepada individu namun kejayaan dan pengiktirafan ini adalah kejayaan keseluruhan warga kerja Maybank Islamic.

“Ini benar-benar mencerminkan kerja keras, usaha dan komitmen mereka,” katanya dalam kenyataan semalam.

Tambah beliau, kejayaan perniagaan perbankan Islam Maybank juga adalah dengan sokongan kuat dan teguh daripada semua sektor dalam Kumpulan Maybank.

“Mendapat pengiktirafan seperti ini pasti akan mendorong kami untuk lebih mengorak langkah ke depan, terus maju dalam industri serta sentiasa komited dalam memberikan solusi inovasi kepada pelang­gan,” katanya.

Beliau juga merupakan Pengerusi Majlis Kelestari­an Maybank yang memainkan pera­nan penting dalam membimbing Kumpulan Maybank ke arah transformasi kelestarian untuk masa depan yang lebih mampan.

The Asset menyatakan, pro­ses pencalonan tahun ini jauh lebih agresif daripada tahun-tahun sebelumnya, dengan sebahagian proses penilaian juga melibatkan temuramah penerbitan sebahagian daripada pe­langgan dan peserta pasaran Maybank Islamic untuk mendapatkan testimoni mereka.

Maybank Islamic adalah pe­neraju institusi perbankan Islam terkemuka ASEAN dan bank komersial Islam terbesar di Malaysia dengan penguasaan pasaran sebanyak 31.1 peratus daripada pembiayaan Islam serta deposit dan akaun pelaburan sebanyak 27.8 peratus pada 31 Disember tahun lalu.

Pada tempoh yang sama, jumlah aset Maybank Islamic telah meningkat 9 peratus kepada RM245.2 bilion. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya