Bergantung kepada ubat kampung punca kematian warga emas tinggi - Utusan Malaysia

Bergantung kepada ubat kampung punca kematian warga emas tinggi

MASIDI MANJUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kebergantungan masyarakat kepada ubat kampung terutama akar-akar kayu dipercayai antara punca menyebabkan kes kematian akibat Covid-19 membabitkan warga emas di Sabah meningkat.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kebanyakan warga emas itu belum menerima vaksin dan mereka dibawa ke hospital ketika keadaan sudah teruk.

Malah katanya, ada yang tidak tahu mereka dijangkiti Covid-19.

“Saya tidak tahu mahu panggil apa tapi mungkin mereka terlampau percaya dengan ubat kampung kerana sekarang banyak yang menjadi ‘pakar’ akar kayu. Mereka juga percaya boleh menguruskan sendiri pesakit di rumah.

“Apabila keadaan mereka semakin serius baru mereka mahu pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Di Sabah, itu antara punca banyak kes kematian membabitkan warga emas. Ia termasuk kes kematian yang dibawa ke hospital (BID),” katanya dalam sidang akhbar sempena program imunisasi vaksin dewasa, kanak-kanak dan dos penggalak di Wisma Innoprise, hari ini.

Menurut beliau, jika boleh disimpulkan, kes kematian akibat Covid-19 membabitkan warga emas itu berlaku kerana ramai pesakit warga emas lewat dibawa ke hospital dan tidak tahu mereka dijangkiti.

“Dalam kes tertentu, warga emas terbabit langsung tidak dibawa ke hospital namun, disebabkan prosedur kematian perlu memaklumkan pihak hospital maka, di situlah keluarga mereka tahu bahawa pesakit dijangkiti Covid-19 dan mempunyai komorbiditi atau penyakit lain,” katanya.

Sementara itu, Masidi yang juga Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Covid-19 negeri Sabah berkata, susulan pembukaan sempadan negara pada 1 April, Sabah perlu melakukan sedikit penyelarasan dari segi prosedur operasi standard (SOP).

Beliau berkata, setelah perincian mengenai SOP itu dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Sabah perlu melakukan penyelarasan kerana berhadapan dengan kemasukan pengunjung dari negara jiran iaitu Filipina dan Indonesia yang datang menggunakan perkhidmatan bot.

“Kadar vaksinasi di negara agak rendah dan berkemungkinan pengunjung yang masuk ke Sabah belum divaksin. Isunya apa jadi sekiranya mereka belum divaksin dan ingin masuk Sabah?

“Itu antara sebab kita (kerajaan negeri) kena buat penyelarasan untuk memastikan setiap pengunjung yang datang ke Sabah terutama mereka yang menggunakan perkhidmatan bot mesti lengkap divaksin dan telah menerima dos penggalak,” katanya.

Masidi berkata, pembukaan semula sekolah akan meningkatkan risiko jangkitan maka, ibu bapa harus segera membawa anak-anak yang berusia lima hingga 11 tahun mendapatkan vaksinasi Covid-19 dengan kadar segera.

Ketika ini, kira-kira 25 peratus daripada 411,400 orang kanak-kanak yang layak divaksin telah menerima vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) di Sabah dan jumlah itu masih agak rendah.

“Saya tidak fikir ada isu mengenai akses vaksinasi kanak-kanak. Sekarang ini, ia bergantung kepada ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka mendapat perlindungan maksimum kerana lebih besar manfaatnya berbanding masalah yang timbul selepas divaksin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya