ALOR SETAR: Semua wad hospital kerajaan di negeri ini secara umumnya berada pada tahap penuh iaitu melebihi 75 peratus daripada kapasiti yang mampu ditampung ketika ini.
Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Othman Warijo memaklumkan, Hospital Kulim dan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani mencatatkan jumlah pesakit yang paling ramai.
Katanya, keadaan itu sekali gus menyebabkan kemudahan untuk pesakit Covid-19 di kedua-dua hospital berkenaan hampir mencapai kapasiti maksimum.
“Penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kulim memang sudah mencecah 100 peratus manakala wad Covid-19 juga sudah hampir mencecah 100 peratus, begitu juga Hospital Sultan Abdul Halim,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Sejak seminggu lalu, berlaku peningkatan kes positif di negeri ini apabila sebanyak 800 kes baharu dicatatkan di negeri ini kelmarin.
Sehingga semalam, Kuala Muda mencatatkan jumlah kes aktif tertinggi iaitu 3,745 diikuti Kulim dengan jumlah kes aktif sebanyak 1,430.
Mengulas lanjut, Othman berkata, berikutan keadaan semasa, terdapat kes di Kulim yang terpaksa dimasukkan ke hospital-hospital hibrid lain yang masih memiliki kekosongan.
“Antaranya mereka dimasukkan ke Hospital Sik dan Baling. Keadaan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pula sehingga kini masih terkawal namun persediaan dilakukan untuk kawasan di sebelah utara Kedah,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, kerajaan akan mengambil inisiatif untuk menambah bilangan katil di hospital terlibat selain Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) bagi menampung bilangan pesakit selepas ini.
“Apabila HSAH penuh, kita akan hantar pesakit Covid-19 ke Hospital Kulim, Baling dan Sik. Namun tiga hospital itu agak kecil dan saiznya tidak sama seperti HSAH atau HSB menyebabkannya cepat penuh,” katanya. – UTUSAN ONLINE










