Lelaki maut di IPD Gombak hadir urusan dokumentasi waran tangkap - Utusan Malaysia

Lelaki maut di IPD Gombak hadir urusan dokumentasi waran tangkap

ARJUNAIDI MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang lelaki yang maut ketika berada di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak semalam hadir bukan untuk tujuan siasatan sebaliknya bagi urusan dokumentasi susulan waran tangkap dikeluarkan terhadapnya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, individu berusia 43 tahun yang beralamat di Selayang itu dibawa dari sebuah kilang kira-kira pukul 11.20 pagi berhubung waran tangkap oleh mahkamah terhadap dirinya.

Beliau berkata, lelaki terbabit memberi kerjasama sepenuhnya dan bersetuju ke IPD Gombak untuk dokumentasi dan proses seterusnya.

“Sepanjang perjalanan, lelaki ini tidak digari kerana memberi kerjasama kepada polis. Bagaimanapun, setibanya di IPD Gombak pukul 11.40 pagi, dia tiba-tiba mengalami sesak nafas.

“Malah, ketika kejadian, lelaki ini masih bernafas apabila pasukan dari Hospital Selayang tiba untuk memberikan bantuan kecemasan sebelum dilaporkan meninggal dunia.

“Kita ingin menegaskan di sini bahawa lelaki ini dibawa ke balai bukan untuk tujuan siasatan kerana perkara tersebut telah selesai. Dia dibawa kerana waran yang dikeluarkan terhadapnya dan diberi jaminan polis untuk hadir ke mahkamah,” katanya dalam sidang akhbar secara maya di sini hari ini.

Semalam, seorang pengawal keselamatan maut selepas mengalami sesak nafas di IPD Gombak, dekat sini berhubung kes ugutan jenayah terhadapnya.

Mengulas lanjut, Arjunaidi berkata, buat masa ini, pihak keluarga ada memaklumkan bahawa lelaki terbabit mempunyai sejarah penyakit sesak nafas dan jantung.

“Kita serahkan kepada hospital untuk memastikan punca kematiannya dan siasatan terus dijalankan.

“Sejurus selepas selesai semuanya, kita serahkan kertas siasatan kepada koroner untuk dijalankan inkues,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN