KUALA TERENGGANU: Lima peniaga di negeri ini dikompaun RM1,000 kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Saharuddin Mohd. Kia berkata, daripada jumlah itu tiga adalah pemilik premis menjual telefon manakala masing-masing satu permaidani dan pemborong.
“Kesemua mereka yang dikompaun semalam terdiri daripada dua peniaga di daerah ini manakala tiga lagi di Kemaman.
“Kesalahan yang dilakukan adalah gagal menyediakan peralatan untuk merekod butiran diri dan suhu di samping tidak mengawal laluan masuk pelanggan bagi menulis maklumat secara manual atau melalui aplikasi MySejahtera,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Saharuddin, pelaksanaan kompaun itu dibuat di bawah Peraturan 15 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) 2021.
Sehubungan itu, beliau meminta pengusaha perniagaan dan orang ramai agar sentiasa mematuhi SOP ditetapkan bagi membendung penularan wabak Covid-19.
Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mengambil mudah dan melanggar SOP tersebut. – UTUSAN ONLINE










