Tok Pa pulih Covid-19, dibenar keluar hospital - Utusan Malaysia

Tok Pa pulih Covid-19, dibenar keluar hospital

MUSTAPA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selepas 12 hari dirawat di hospital, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dibenarkan pulang selepas disahkan sembuh daripada jangkitan Covid-19.

Beliau berkata, tempoh rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) itu disifatkan paling mencemaskan apabila pernah dimasukkan ke wad unit rawatan rapi (ICU) selama tiga hari kerana terdapat sedikit masalah pernafasan dan kekurangan tenaga.

Bagaimanapun, katanya, dengan pemantauan rapi doktor dan jururawat di samping berkeyakinan penuh dengan ketentuan Allah SWT, beliau beransur pulih.

“Sekarang saya perlu lebih banyak berehat, kurangkan kerja dan tidak boleh bertemu ramai orang.

“Selain itu, pelitup muka, pembersih tangan, penjarakan sosial dan pemakaian face shield perlu menjadi amalan kita semua sepanjang masa sehingga pandemik ini benar-benar pulih,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Mustapa yang dikenali Tok Pa memberitahu, banyak pengajaran diperoleh apabila diuji dengan jangkitan Covid-19.

Menurut beliau, pandemik itu adalah kentetuan Allah SWT supaya manusia insaf dan sedar betapa kerdilnya kita semua dan perlunya menjaga maslahah umum mengatasi kepentingan peribadi.

Katanya, ancaman pandemik itu adalah serius, perlu diambil berat oleh rakyat kerana negara masih belum memenangi peperangan ini.

“Berdiri teguh di belakang kerajaan, Kementerian Kesihatan dan pihak penguat kuasa bagi mempertahan nyawa serta kehidupan.

“Terima kasih tidak terhingga kepada semua staf Kementerian Kesihatan khususnya di HRPZ II, ahli keluarga, sahabat handai dari seluruh pelusuk tanah air yang memberi kata-kata semangat, ucapan dan doa,” katanya.

Beliau turut menitipkan doa agar Allah SWT menyelamatkan negara, pemimpin-pemimpin dan semua rakyat daripada ancaman Covid-19. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya