PKP: Sekali lagi kena henti operasi - Utusan Malaysia

PKP: Sekali lagi kena henti operasi

AHMAD Nasran Mohd. Yusof (depan) dan Mohd. Nawaf mencuci kereta pelanggan buat kali terakhir sebelum memberhentikan operasi sementara waktu berikutan pelaksanaan PKP di Perlis bermula hari ini. - UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: “PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ‘datang lagi’. Kalau tutup lama lagi, makin banyaklah kerugian terpaksa kami tanggung.”

Demikian luahan pemilik RY Snow Wash – Coating & Detailing di Jalan Rani Estet di sini, Mohd. Nawaf Mohd. Yusof, 30, yang sebelum ini mampu tersenyum lebar selepas perniagaan memba­suh kereta mendapat sambutan cukup hebat setelah ber­akhirnya PKP beberapa bulan lalu.

Anak muda tersebut yang mula bangkit selepas teruk terkesan berikutan PKP sebelum ini, terpaksa menghadapi dugaan sama apabila perlu sekali lagi menutup operasi ekoran pelaksanaan semula perintah ber­kenaan di negeri ini berkuat kuasa hari ini.

Selain bakal sekali lagi hilang sumber pendapatan, Mohd. Nawaf juga buntu memikirkan nasib para pekerja jika PKP berlarutan sehingga beberapa bulan.

Katanya, dalam tempoh PKP, mereka terpaksa menutup operasi dan dia perlu mencari ikhtiar dalam mencari sumber pendapatan lain bagi menampung kehidupan seharian.

“Kami baru bangkit selepas kedai tutup beberapa bulan sebelum ini, namun terpaksa berdepan sekali lagi cabaran sama. Selepas PKP sebelum ini, sambutan cukup hebat dengan 20 hingga 30 kenderaan ma­suk sehari termasuk pelanggan menggunakan perkhidmatan polish dan ceramic coating.

“Selepas ini, terpaksa terme­nung sekali lagilah apabila PKP kembali dilaksanakan. Jika kedai tutup dua minggu, kami boleh terjejas pendapatan sehingga belasan ribu ringgit.

“Jika lama lagi, makin ba­nyaklah kerugian,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Abangnya, Ahmad Nasran, 41, pula berkata, tahun lalu disifatkan cukup mencabar dengan harapan 2021 bakal memberi sinar baharu.

Namun, katanya, keadaan berlaku sebaliknya dan jumlah Co­vid-19 terus meningkat, sekali gus memberi kesan kepada mereka apabila terpaksa menutup operasi perniagaan.

“Jika PKP terus berlarutan seperti sebelum ini, saya mungkin terpaksa melakukan pekerjaan lain buat sementara waktu bagi mencari pendapatan. Kalau boleh, biarlah Covid-19 ini segera berlalu dan Perlis kembali hijau.

“Rakyat di negeri ini diharap terus mematuhi SOP (prosedur operasi standard) agar penula­ran wabak ini dapat dibendung. Kalau boleh, kita mahu PKP cukup­lah setakat dua ming­gu. Kalau lebih lama lagi, akan memberi kesan lebih buruk kepada kami dan ramai pihak lain,” katanya. – UTUSAN ONNLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN