fbpx

6 Mac 2021, 1:45 pm

  TERKINI

Pegawai kesihatan boleh digerakkan ke mana-mana

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seseorang pegawai kesihatan kini boleh bertugas di mana-mana sahaja yang memerlukan perkhidmatannya susulan penambahbaikan Sijil Amalan Tahunan (APC) di bawah Ordinan Darurat Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, semua pihak perlu bersatu padu dan bekerjasama dalam memperkukuh keupayaan kapasiti, fasiliti dan sumber manusia dalam menghadapi pandemik Covid-19.

Katanya, kes Covid-19 menunjukkan peningkatan mendadak sejak kebelakangan ini yang mana semalam, lebih 4,000 kes dan hari ini, 3,000 kes.

“Apa yang penting sekarang ini, di bawah ordinan terbabit, kementerian ada membuat penambahbaikan pada terma membabitkan amalan perubatan membabitkan APC. Pegawai terbabit boleh bertugas di mana-mana, awam atau swasta atau digerakkan dari satu hospital ke satu hospital lain.

“Jika dahulu, seseorang pegawai perlu isytiharkan amalan perubatannya tapi sekarang ia ditambah baik bagi membolehkan seseorang itu digerakkan selagi mana perkhidmatannya diperlukan dalam menangani pandemik Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengenai status kerjasama antara pihak kerajaan dan swasta dalam merawat pesakit Covid-19.

Noor Hisham berkata, sebenarnya kerjasama dengan pihak swasta sudah pun dilaksanakan ketika gelombang kedua Covid-19 namun kini, ia sangat membantu sekiranya pihak swasta dapat terus merawat pesakit mereka yang dikesan positif.

Katanya, apabila hospital swasta mendapati pesakit mereka disahkan positif Covid-19 maka mereka boleh terus merawatnya berbanding memindahkannya ke hospital awam.

“Saya dimaklumkan ada beberapa hospital swasta ada merawat pesakit mereka yang asalnya didiagnos Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) tapi didapati positif Covid-19 dan mereka terus merawatnya.

“Kerjasama ini sebenarnya dapat mengelakkan kesesakan di hospital awam malah kita juga sedang melaksanakan kerjasama dan melatih staf awam termasuk juga swasta dalam beberapa aspek perubatan termasuk kawalan penyakit,” katanya. – UTUSAN ONLINE