Ceritera seorang tokoh

Ceritera seorang tokoh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tengah hari. Sebaik usai makan bersama dengan keluarga di Restoran Garden Seafood, iPhonenya berbunyi. Ada mesej WhatsApp terpapar pada skrin telefon pintar, Apple.

“Salam, tuan. Biodata, sejarah penglibatan@pencapaian tuan dalam dunia bahasa dan sastera serta senarai kumpulan puisi dan cerpen telah kami terima. Terima kasih atas kerjasama tuan.”

Rupa-rupanya mesej balas daripada sahabat, Cikgu Su merangkap setiausaha persatuan penulis yang berwibawa di Kuala Kangsar.

Munsyi Shi mengenali Cikgu Su melalui program NILAM peringkat negeri beberapa tahun lalu. Cikgu Su juga seorang deklamator@pendeklamasi puisi yang hebat di peringkat negeri dan kebangsaan.

Sejujurnya, sejak bergiat aktif dalam bidang penulisan, khususnya genre puisi dan cerpen, Munsyi Shi hanya berhasrat untuk menyebarluaskan bahasa dan susastera dalam kalangan masyarakat majmuk selain memperkukuh nilai modal insan, khususnya dalam dunia pendidikan. Yang perlu dinilai bukan wang ringgit semata-mata tetapi azam iltizam untuk merealisasikan wacana kehidupan insan yang berilmu, bersahsiah dan bertamadun.

Masih dalam ingatan Munsyi Shi, sejak di bangku sekolah menengah, cukup giat ia menulis pendapat ke ruangan Forum Pelajar. Tidak kurang gembiranya ia apabila sajak-sajak kecilnya itu diterima untuk siaran oleh akhbar berbahasa Tionghoa.

Honorarium berbentuk wang pos ditunaikan di Pejabat Pos Tanjung Jambu untuk membeli reben mesin taip Olivetti Lettera 32, kertas A4, sampul surat dan setem. Tiada jalan pintas sebenarnya kecuali usaha yang bersungguh-sungguh. Yang penting bagi Munsyi Shi, penulis pemula@muda seperti dirinya wajar terus gigih berusaha menimba ilmu kepengarangan dan mengasah bakat tanpa putus asa.
Semakin lincah penglibatan Munsyi Shi di buana bahasa dan kesusasteraan. Karya kerap dihantar ke akhbar nyamuk@tabloid tanah air. Berkat bimbingan penulis@pensyarah maktab yang berwibawa, sebuah dua sajak dan cerpen Munsyi Shi sempat singgah dan tersiar dalam akhbar perdana tempatan.

Harus diambil iktibar bahawa karya susastera, khususnya sajak atau cerpen bukan mi segera. Karya tersebut perlu ditekuni dan diperhalus dengan sabar bersulamkan suara rasa kreatif, bahasa berestetika, nilai dan falsafah pemikiran yang tuntas. Syukur, alam, masyarakat dan kehidupan merupakan sumber ilham dan impetus kepada dunia pengkaryaannya.
“Mahu menjadi penulis?” Hadir suara-suara nakal rakan yang meresahkan sukmanya. Barangkali, lebih bermanfaat jika ia sekadar mendiamkan diri agar tidak diundang perdebatan yang sia-sia.
“Menulis puisi atau cerpen bisa menajamkan minda yang pintar. Berpuisi atau bercerpen tidak bisa mengenyangkan perut yang lapar!” Sintaksis bernada sinis itu bagaikan sebutir peluru yang tajam menerjah tepat lalu merobek luka di hati sanubarinya.
Yang pentingnya, aku tidak bisa berputus asa. Yang pentingnya, aku tidak bisa menyerah kalah! Monolog demi monolog mendewasakan Munsyi Shi beransur-ansur. Cekal dan tekal. Tabah dan pasrah.
Pernah terbaca oleh Munsyi Shi akan kata-kata nasihat tokoh penulis tanah air yang berwibawa, yakni jika ingin menjadi penulis, pertama sekali kena membaca, kedua kena membaca, ketiga membaca, keempat membaca dan kelima baru menulis.
Jadi, minat membaca menulis kemudiannya menulis membaca telah melebarkan sayap bakat Munsyi Shi selain pengukuhan melalui persatuan penulis sejak bermulanya kerjaya guru maktab di daerah bijih timah, Tanjung Tualang.
Aktiviti demi aktiviti persatuan penulis disertai tekun kecuali hari berselisih dengan hal-hal peribadi yang tidak dapat dielakkan. Persatuan membolehkan ia bersahabat, berwacana dan bergiat di buana kebahasaan dan kesusasteraan tanah air dari semasa ke semasa.
Daripada akhbar nyamuk@tabloid dan perdana, beransur-ansur terserlah bakat Munsyi Shi di halaman majalah ternama. Tidak dapat dinafikan bahawa kematangan berkarya dimantapkan oleh usia yang kian meningkat dewasa.
Kejayaan demi kejayaan dalam sayembara anjuran akhbar perdana, NGO, kerajaan negeri dan kerajaan pusat melayakkan ia diberi anugerah demi anugerah, sama ada bertaraf negeri atau bertaraf kebangsaan. Bagi Munsyi Shi, anugerah itu pengiktirafan. Dalam sedar dan penuh insaf, pengiktirafan itu mendewasakan dunia pengkaryaan munsyi di buana kehidupan yang fana ini.

II
kata sarjana, puisi itu hasil seni sastera berirama sajak atau kata-kata kiasan karangan berangkap disusun dengan bahagian  kerat demi kerat berjodoh bunyi, rentak dan isinya menurut timbangan atau sukatan abstrak sifatnya  -kecantikan bahasa -kemerduan bunyi -pengucapan perasaan, pemikiran dan tanggapan  -sintesis peristiwa dan pengalaman cendekia
konkrit struktur dasarnya -binaan baris dalam rangkap -suku kata dalam baris dan rima -tema dan persoalan gelora perasaan emotif dalam imaginatif  diakrabi kritikan kehidupan
cermat, padat dan tepatnya bahasa kesan indah kepada pembaca kata sarjana, puisi itu sastera kental akan muzik bahasa kaya akan kebijaksanaan penyair tradisinya membijaksanakan pembaca
bahasa indah kebenaran pernyataan halus perasaan diimbangi gagasan pemikiran akal budi insan dan kemanusiaan secawan kopi semangkuk mi kari dalam resah hiruk-pikuk pagi terpukau mata sepet marhaenku akan grafiti pada dinding usang sebuah rumah setinggan di pinggir kota metropolitan tertulis akan kata-kata terbaik dalam susunannya yang terbaik:

puisi itu bisa menajamkan minda yang pintar  tidak bisa mengenyangkan perut yang lapar!

Ah, bait-bait sajak itu masih bergentayangan di peta minda Munsyi Shi! Ketika dibuai lamunan pada pagi yang hening itu, berbunyi pula iPhone Munsyi Shi. Mesej WhatsApp daripada Cikgu Su.
“Tahniah, Munsyi Shi! Tuan telah dinobatkan sebagai Tokoh Puisi Negeri Perak!” Ucap jelas Cikgu Su.
“Terima kasih atas ucapan, tuan. Terima kasih juga kepada barisan panel juri yang arif, adil dan saksama,” balas Munsyi Shi ringkas penuh hormat.

III
Dek usia yang kian lanjut dibelenggu keuzuran, Munsyi Shi ke majlis penganugerahan tersebut di Dataran Pavilion, Kuala Kangsar dengan sebuah teksi sewa dari Tanjung Jambu. Pergi dan balik. Bertolak awal pagi, Munsyi Shi.

Nampaknya, kian banyak kenderaan bertali arus di Lebuh raya Utara Selatan. Cuti hujung minggu. Barangkali, warga metropolitan mahu meninggalkan hiruk-pikuk kota untuk pulang ke kampung halaman atau berdarmawisata ke negeri-negeri di Utara Semenanjung.

Kesesakan lalu lintas di Terowong Menora cukup merimaskan perjalanan. Mujur drebar teksi sewa itu berpengalaman dan bisa berbual-bual santai tanpa jemu. Dataran Pavilion, Kuala Kangsar. Yang dituju, sampai jua akhirnya.

Munsyi Shi disambut oleh urus setia. Beberapa penulis sekitar Kuala Kangsar dan Taiping hadir bersama tetamu undangan, urus setia dan masyarakat setempat.

Selepas ucapan penganjur dan perasmian oleh YB ADUN, pembacaan biodata tokoh puisi diadakan. Sebaik usai majlis penganugerahan, tampil tokoh membaca sajak pilihan masing-masing.

Majlis berakhir dengan sesi bergambar kenangan dan jamuan ringan.
“Tahniah!”

“Tahniah, Tokoh Puisi Negeri Perak!”
“Tahniah, Munsyi Shi!”

Teksi sewa sudah menunggu di tepi pintu utama Dataran Pavilion. Berangkat pulanglah Munsyi Shi ke Mukim Hulu Bernam Timur bergalaskan amanah dan tanggungjawab untuk menyebarluaskan bahasa dan susastera tanah air kepada masyarakat majmuk selaras dengan slogan Bahasa Jiwa Bangsa, Susastera Peradaban Nusa.

Dalam perjalanan, teringat Munsyi Shi akan kata-kata legenda bola sepak dunia, mendiang Edson Arantes do Nascimento@Pele, iaitu “Success is no accident. It is hard work, perseverance, learning, studying, sacrifice and most of all, love of what you are doing.”

Teksi sewa meluncur lancar dalam perjalanan pulang ke Tanjung Jambu, Daerah Muallim. Sejak hari bersejarah itu, tokoh puisi pernah menunggu kalau-kalau ada undangan untuk berceritera tentang bahasa dan susastera, khasnya puisi. Setidak-tidaknya, undangan berceramah, mendeklamasi puisi atau bual bicara bersama tokoh puisi di sekolah, IPGM, JKKN atau di institusi pengajian tinggi tempatan.

Menunggu penuh sabar, Munsyi Shi. Menanti penuh harapan, Munsyi Shi. Penantian dan penungguan silih berganti antara bulan dengan mentari. Terkesima seketika, Munsyi Shi. Buat sekian kalinya watikah penobatan itu ditatap puas-puas oleh Munsyi Shi sebelum tersimpan usang dalam album kenangan.
Agi Idup Agi Ngelaban!

Yang pentingnya buat Munsyi Shi, hidup ini perlu diteruskan. Kejayaan atau kegagalan merupakan rempah-ratus kehidupan.

Selagi masih bernafas, selagi itulah perjuangan mendaulatkan bahasa dan susastera tanah air akan diteruskan tanpa gagal. Perjuangan itu tetap kekal kental berkobar-kobar dalam jiwa raganya selagi hayat dikandung badan.

Keesokan paginya, selepas usai dibiaya tambang teksi sewa, pergi dan balik, baki wang hadiah anugerah digunakan untuk melangsaikan bil-bil utiliti bulanan rumah leluhur di Mukim Hulu

Bernam Timur. Bersyukur Munsyi Shi kepada-Nya kerana masih ada mentari dan bulan menambah seri landskap malar hijau alam berlatarbelakangkan banjaran Titiwangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×