Bubar Parlimen: PM minta bersabar

Bubar Parlimen: PM minta bersabar

ANWAR Ibrahim dalam program Dialog Negara Khas Bersama Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri: ‘Di Sebalik Keputusan...’ yang disiarkan serentak menerusi­ Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan beberapa saluran media tem­patan lain malam tadi.-BERNAMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua pihak diminta bersabar berhubung tarikh pembubaran Parlimen memandangkan perkara itu akan mengambil kira tempoh penggal pentadbiran kerajaan ketika ini.

Sehubungan itu, Perdana Men­teri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan diadakan sebelum Februari 2028.

“PRU16 mesti diadakan sebelum Februari 2028, begitu lebih kurang. Jadi sabarlah…ia juga sama ada sebelum Hari Kebangsaan ataupun sesudah. Ia tidak ada lebih daripada itu,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata demikian dalam program Dialog Negara Khas Bersama Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri: ‘Di Sebalik Keputusan…’ yang disiarkan serentak menerusi­ Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan beberapa saluran media tem­patan lain, malam tadi.

Kenyataan Perdana Menteri itu susulan desakan beberapa pihak sejak kebelakangan ini supaya Parlimen dibubarkan bagi membolehkan PRU16­ di­segerakan untuk mendapatkan mandat baharu daripada rakyat.

Ditanya mengenai kemungkinan beliau terus menerajui negara selepas PRU16, Anwar menyatakan kesediaan untuk berbuat demikian sekiranya diberi mandat sekali lagi.

Namun menurutnya, komposisi kerajaan yang bakal dibentuk adalah bergantung kepada sokongan rakyat terhadap parti-parti politik.

“Komposisi kita tak boleh tentu sebab kita tengok keadaan dan sokongan serta mandat yang diberikan kepada parti-parti.

“Tetapi kalau saya, tentulah saya hendak teruskan dan tentunya dengan pengalaman yang ada, dengan kekuatan yang ada dapat mengangkat martabat Malaysia.

“Saya pencinta negara, saya yakin dengan keupayaan negara. Saya meletak harapan tinggi kepada anak-anak muda dan saya mahu Malaysia ini sekarang diangkat menjulang menjadi satu negara yang hebat dan gagah di rantau dan dunia,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar mengingatkan masyarakat supaya lebih kritis dalam menilai pandangan politik yang dikemukakan atas nama agama terutama apabila ia boleh berubah mengikut kepentingan semasa.

Katanya, setiap hujah perlu dinilai berlandaskan ilmu dan fakta sahih tanpa mengira sama ada ia dikemukakan pemimpin kerajaan atau pembangkang bagi mengelakkan kekeliruan antara hukum agama dengan pendirian politik.

Menyentuh soal integriti dalam pentadbiran negara, Anwar me­negaskan kedudukan dan hubungan seseorang dengan pemimpin kerajaan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada tindakan undang-undang khususnya dalam kes rasuah.

Beliau mengakui usaha membanteras rasuah lebih mencabar daripada jangkaannya berikutan amalan itu sudah berakar umbi dalam sistem namun soal populariti tidak akan menjadi pertimbangan kerajaan dalam mengambil tindakan.

“Rasuah bagi saya dalam negara ini sudah sistemik. Saya warisi keadaan yang sistemik. Oleh itu kita mesti terus tegas, terus jalan walaupun popular atau tidak, itu soal kedua,” katanya.

Menjawab dakwaan wujud perbezaan layanan terhadap individu berpengaruh yang dikaitkan dengan rasuah, Perdana Menteri mengambil contoh kes bekas Setiausaha Politik Kanannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin yang berdepan tindakan undang-undang tanpa campur tangan daripadanya.

“Dia beritahu saya tetapi saya kata saya tak campur maka dia didakwa. Ada pernah ke kes seperti itu berlaku? Tidak dan rakan-rakan saya dalam Jemaah Menteri tahu saya tidak akan pertahankan (mereka yang terlibat rasuah),” katanya.

Menurut Anwar, ketegasan kerajaan memperbaiki tadbir urus serta membanteras rasuah dan ketirisan berjaya menjimatkan dana berpuluh-puluh bilion ringgit sekali gus menyediakan ruang untuk menambah peruntukan bagi menjaga kebajikan rakyat.

Penjimatan itu, katanya, turut membolehkan kerajaan menamatkan sistem pengambilan doktor kontrak mulai 1 Januari 2027 selain mengekalkan subsidi asas tanpa perlu menambah beban kewangan rakyat.

Sehubungan itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan me­negaskan tiada asas untuk menaikkan kadar yuran rawatan di fasiliti kesihatan awam ketika kenaikan upah masih belum sepadan dengan pertumbuhan ekonomi dan kos sara hidup.

“Tetapi untuk membebankan rakyat susah kerana upah itu tidak naik setimpal dengan pertumbuhan ekonomi dan dengan kos walaupun inflasi kita memang rendah, apakah patut kita naikkan cukai ataupun bayaran bagi rakyat biasa? Saya tidak bersedia lakukan,” katanya.

Pada masa ini, caj rawatan pesakit luar bersubsidi di hospital dan klinik kesihatan awam di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) ditetapkan pada kadar RM1 bagi rawatan am dan RM5 untuk perkhidmatan pakar.

Selain menjaga kebajikan rakyat, kerajaan turut memberi perhatian terhadap kelangsungan perniagaan usahawan tempatan yang kini berdepan persaingan susulan lambakan barangan murah menerusi platform e-dagang antarabangsa, khususnya dari China.

Anwar berkata, kerajaan se­dang mempertimbangkan pengenalan peraturan lebih ketat bagi mengawal kemasukan produk berkenaan tanpa menyekat perdagangan sepenuhnya termasuk memastikan aspek mutu, keselamatan dan status halal barangan terjamin.

“Kita tidak bertujuan untuk menyekat tetapi yang kita mahu pelaburan dan perdagangan, bukan lambakan barang yang murah dan ini membunuh beberapa syarikat kecil di lapangan,” katanya.

Dalam usaha memperkukuh daya saing syarikat tempatan, khususnya dalam industri makanan, Perdana Menteri mahu kejayaan Farm Fresh Bhd. yang menerima sokongan modal awal daripada Khazanah Nasional Bhd. dijadikan contoh dalam membangunkan syarikat berpotensi tinggi.

Katanya, ketika industri makanan dan pertanian berdepan tekanan peningkatan kos pengeluaran akibat ketidaktentuan geopolitik global, kelemahan dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan perlu ditangani.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini