Rosak imej ATM jika dadah dibiar terus berleluasa - Utusan Malaysia

Rosak imej ATM jika dadah dibiar terus berleluasa

MOHAMED Khaled Nordin ketika ditemui Utusan Malaysia di Kementerian Pertahanan, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penglibatan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kegiatan dadah mengancam keselamatan negara dan merosakkan imej institusi pertahanan, sekiranya ia dibiarkan berlaku secara berleluasa.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kegiatan itu bukan sahaja mencerminkan kegagalan segelintir anggota menjaga amanah dan integriti, malah boleh menjejaskan peranan serta tanggungjawab ATM dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.

Katanya, hal itu juga dikhuatiri menyebabkan rakyat hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap institusi ketenteraan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Memang sangat malang perkara ini berlaku dan kita anggap ini sebagai satu perkara yang sangatsangat besar. Kerana bukan saja melibatkan soal, ada anggota kita yang tidak amanah, tidak berintegriti. Tetapi kita khuatir ataupun kita berasakan bahawa kalau ini memang berleluasa berlaku, ertinya negara terancam.

“Dan tentunya soal peranan dan tanggungjawab anggota dan ATM sebagai mereka yang menjaga kedaulatan pertahanan dan keselamatan negara mungkin akan terjejas,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Mohamed Khaled berkata, secara keseluruhannya warga ATM kekal beramanah apabila kegiatan berkenaan dikesan dan ditangkap oleh anggota pasukan sendiri.

“Sebagai organisasi yang besar, saya pernah sebut kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Namun, bukan semua.

“Ia dikesan anggota sendiri sebelum melaporkan pada pihak polis. Maknanya ATM secara keseluruhan masih beramanah,” katanya.

Beliau tidak akan berkompromi terhadap isu terbabit dan akan menjalankan siasatan secara menyeluruh melalui sebuah jawatankuasa khas bagi meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) serta memperketat kawalan keselamatan di semua pangkalan tentera.

“Kementerian Pertahanan sangat telus dan pendirian kita sangat jelas iaitu tidak berkompromi. Kalau kita biarkan, ia akan merosakkan institusi ATM,” tegasnya.

Beliau berkata, Kementerian Pertahanan bersedia meneliti dan menambah baik SOP termasuk cadangan penggunaan mesin pengimbas badan berteknologi tinggi bagi memperketat kawalan keselamatan di semua pangkalan udara.

Katanya, pihaknya terbuka menerima sebarang cadangan penambahbaikan termasuk daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), selagi bersesuaian dan mampu dilaksanakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini