Verstappen mahu gegar Daytona 24 Hours

Verstappen mahu gegar Daytona 24 Hours

Max Verstappen
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAS VEGAS: Max Verstappen sedang mempertimbangkan untuk menyertai perlumbaan ketahanan Daytona 24 Hours di Amerika Syarikat pada Januari depan, sebelum bermulanya musim baharu Formula Satu (F1).

Pelumba Red Bull dari Belanda itu mahu mencuba cabaran perlumbaan lain di samping komitmennya dalam F1, dengan perlumbaan ketahanan antara bidang yang paling menarik minatnya.

Lawatan Verstappen ke Litar Antarabangsa Daytona baru-baru ini mencetuskan spekulasi mengenai penyertaannya, namun beliau menjelaskan kunjungan tersebut lebih tertumpu kepada urusan penggambaran bersama Red Bull.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami sedang meneliti sama ada penyertaan itu boleh dilakukan, tetapi buat masa ini, lawatan tersebut lebih berkaitan dengan penggambaran bersama Red Bull.

“Itu memang perlumbaan yang saya mahu sertai. Saya rasa ia boleh dilakukan ketika masih berlumba dalam F1, jadi saya berharap dapat melakukannya,” kata Verstappen.

Bagaimanapun, Verstappen menegaskan sebarang keputusan mengenai penyertaannya belum dimuktamadkan dan perkembangan lanjut hanya akan diketahui kemudian kerana masih ada masa untuk mempertimbangkan perancangan tersebut dengan teliti.

Perlumbaan Daytona 24 Hours merupakan antara acara ketahanan paling berprestij di dunia dan lazimnya membuka tirai Kejuaraan Kereta Sukan Persatuan Sukan Permotoran Antarabangsa (IMSA) setiap tahun.

Perlumbaan yang berlangsung pada Januari itu memberi peluang kepada Verstappen untuk mengambil bahagian kerana saingan F1 masih berehat sebelum musim baharu bermula.

Verstappen turut menyokong pelumba F1 yang mahu mencuba perlumbaan lain, termasuk Fernando Alonso yang merancang untuk menyertai Rali Dakar pada Januari tahun depan.

Menurutnya, musim F1 sememangnya panjang, namun beliau tetap mahu menyertai perlumbaan lain jika dapat menyusun jadual dengan baik dan membawa keluarganya bersama sepanjang tempoh tersebut. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini