PETALING JAYA: Tiada larangan mutlak terhadap warga asing untuk menubuh atau terbabit dalam aktiviti pertubuhan di negara ini.
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) bagaimanapun menegaskan, mana-mana pertubuhan perlu mematuhi keperluan pendaftaran ditetapkan di bawah Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832].
RoS dalam kenyataannya, berkata tafsiran ‘pertubuhan’ mengikut Akta 832 membabitkan pertubuhan yang mempunyai keanggotaan tujuh orang atau lebih.
“Akta Pertubuhan 1966 tidak menetapkan larangan khusus yang menyatakan warganegara asing tidak boleh menubuhkan pertubuhan di Malaysia.
“Sebaliknya, penubuhan dan pengoperasian sesuatu pertubuhan perlu mematuhi Akta 832, peraturan berkaitan, perlembagaan pertubuhan serta apa-apa syarat atau ketetapan oleh pendaftar,” katanya RoS ketika dihubungi.
RoS berkata, warga asing yang mahu memegang jawatan dalam pertubuhan perlu mendapatkan kebenaran pendaftar terlebih dahulu, tertakluk kepada perlembagaan pertubuhan.
“Selain itu, Akta 832 memperuntukkan bahawa perlembagaan pertubuhan perlu menetapkan kelayakan keanggotaan termasuk apa-apa sekatan berkaitan kerakyatan.
“Pemegang jawatan serta pegawai yang menjalankan fungsi eksekutif perlu terdiri daripada warga tempatan jika dikehendaki oleh pendaftar.
“Justeru itu, penentuan sama ada sesuatu pertubuhan membabitkan warga asing boleh didaftarkan atau tidak adalah tertakluk kepada penelitian dan keputusan pendaftar berdasarkan peruntukan undang-undang serta dasar dan ketetapan semasa,” katanya.
Mengulas mengenai sama ada pertubuhan warga asing boleh mengutip derma daripada orang ramai, RoS memaklumkan laporan kewangan termasuk sumber pendapatan dan penggunaan wang perlu dilaksanakan jika pertubuhan itu berdaftar.
Katanya, ketetapan tersebut perlulah selaras dengan perlembagaan pertubuhan yang telah diluluskan oleh pendaftar, Akta 832 serta undang-undang lain berkaitan.
“Namun jika pertubuhan itu tidak berdaftar, ia boleh menjadi kesalahan yang menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 41(1)(b) Akta 832.
“Seksyen 46 Akta 832 memperuntukkan mana-mana orang mendapatkan atau cuba mendapatkan yuran atau bantuan bagi maksud pertubuhan yang menyalahi undang-undang melakukan suatu kesalahan.
“Jika disabitkan kesalahan, pihak terbabit boleh dipenjarakan sehingga tiga tahun atau didenda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya,” katanya.
Justeru itu, RoS menasihatkan orang ramai supaya mengesahkan status pendaftaran sesuatu pertubuhan terlebih dahulu sebelum memberikan sebarang sumbangan atau bantuan kewangan.











