‘Selagi tidak ada bukti, selagi itu masih berharap’

‘Selagi tidak ada bukti, selagi itu masih berharap’

HANI bersama Loe sebelum hilang di Nepal. - GAMBAR FACEBOOK HANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Walaupun hampir sebulan tragedi banjir di Nepal berlalu, isteri kepada anggota Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB), Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd. Fakhrul Munir Mohd. Isa iaitu Hani Othman masih setia menanti khabar mengenai suaminya.

Hani yang telah pulang ke ibu negara selepas ke Nepal sejak 11 September lalu, menaruh harapan untuk bertemu de­ngan suaminya, walau dalam apa jua keadaan.

“Malah saya juga yakin bahawa dia masih hidup walaupun tidak menerima sebarang panggilan sejak berlakunya kejadian pada 26 Ogos lalu.

“Selagi tidak ada bukti, selagi itu masih berharap,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Sebelum ini dilaporkan, Mohd. Fakhrul Munir yang le­bih mesra dipanggil Loe, dilaporkan hilang ketika menyer­tai misi pendakian di Nepal, susulan banjir dahsyat di negara itu.

Turut dilaporkan hilang ialah Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohd Sani Harul, yang menyertai misi pendakian sama.

Secara keseluruhan, seramai 55 rakyat Malaysia dilaporkan masih gagal dihubungi susulan bencana itu.

Dalam pada itu, pakar forensik yang juga bekas Ketua Siasatan Tempat Kejadian (CSI) PDRM. Supt (B) Amidon Anan berkata, proses mengenal pasti individu melalui bukti forensik padanan asid deoksiribonukleik (DNA) bergantung kepada keadaan dan jumlah cebisan atau bahan perlu diperiksa.

Menurut beliau, jika hanya melibatkan seorang individu dengan sampel yang lengkap dan sesuai, proses pengenalpastian mungkin dapat dilakukan dalam tempoh yang lebih singkat.

“Kalau seorang, mungkin dalam tempoh 24 jam boleh dikenal pasti, bergantung kepada keadaan dan jenis sampel.

“Tetapi kalau melibatkan ramai mangsa, termasuk cebisan anggota badan dan rangka yang banyak, proses itu sememangnya memerlukan sedikit masa kerana setiap sampel perlu diperiksa dan dipadankan dengan teliti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×