
PENYATUAN Pas-UMNO bukan sahaja mengundang masalah kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pakatan Harapan (PH), malah boleh mengecilkan ruang politik Parti Wawasan Negara (Wawasan).
Jika kedua-dua parti Melayu terbesar di Malaysia itu benar-benar bergabung, percaturan kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dijangka menjadi medan rundingan paling sengit.
Pas sudah menegaskan akan mempertahankan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada PRU15.
Begitu juga UMNO akan kekal bertanding di kerusi miliknya. Malah UMNO juga mahu mendapatkan kembali kerusi yang pernah menjadi miliknya tetapi dimenangi Bersatu atas tiket Perikatan Nasional (PN)
Pas mempunyai akar umbi yang kukuh, UMNO memiliki jaringan organisasi yang luas, manakala Bersatu pula perlu mempertahankan kawasan yang dimenanginya.
Persoalannya, di mana pula Wawasan akan bertapak? Wawasan mungkin tidak kehilangan banyak kerusi kerana belum mempunyai banyak kerusi untuk dipertahankan. Tetapi Wawasan berisiko kehilangan ruang untuk berkembang apabila kawasan-kawasan strategik menjadi rebutan parti yang lebih besar.
Lebih membimbangkan, Wawasan boleh dilihat sekadar menjadi parti persinggahan kepada kelompok yang kecewa dengan Bersatu, bukannya sebuah kuasa politik yang mempunyai pengundi sendiri.
Jika itu berlaku, penyatuan Pas-UMNO bukan sekadar mengubah peta politik Melayu. Ia mungkin mempercepatkan persoalan paling getir terhadap Wawasan. Adakah parti itu benar-benar mempunyai masa depan, atau sekadar lahir daripada perpecahan yang akhirnya berakhir?
Dalam politik, parti bukan hanya perlu mencari kerusi untuk ditandingi tetapi ia perlu mempunyai pengundi yang mahu memilihnya dan itulah ujian sebenar Wawasan menjelang PRU16. – UTUSAN










