Pameran Setem Lima Negara Perlis Malaysia 2026 pamer koleksi berkualiti - Utusan Malaysia

Pameran Setem Lima Negara Perlis Malaysia 2026 pamer koleksi berkualiti

MUHAMED Salim Mohd Ali dan Mohd Irzat Rozaidy Mohamad Roseli bergambar bersama para delegasi antarabangsa dari lima negara bersempena Pameran Setem Lima Negara Perlis Malaysia 2026 di Dewan 2020 Kangar, Perlis hari ini.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Penganjuran Pameran Setem Lima Negara Perlis Malaysia 2026 bukan sahaja menjadi medan mempamerkan koleksi berkualiti, malah mengeratkan hubungan dan kerjasama dalam kalangan komuniti filateli serantau.

Presiden Persatuan Filateli Malaysia (PSM) merangkap pengerusi jawatankuasa penganjur,
Muhamed Salim Mohd Ali berkata, lebih 60 delegasi antarabangsa turut bersama bersempena pameran berkenaan.

Katanya, delegasi tersebut terdiri daripada peserta, juri, pesuruhjaya negara dan wakil persatuan filateli dari Thailand, Indonesia, Singapura, Vietnam dan Bangladesh.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita mengalu-alukan kehadiran semua delegasi serta merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri Perlis, Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (PSSI)- Perlis Tourism dan semua pihak yang bekerjasama menjayakan pameran tersebut.

“Penganjuran tersebut bukan sahaja menjadi medan mempamerkan koleksi filateli berkualiti, malah mengeratkan hubungan dan kerjasama dalam kalangan komuniti filateli serantau,” katanya di sini hari ini.

Pameran Setem Lima Negara Perlis Malaysia 2026 bermula 25 sehingga 27 September itu dianjurkan PSSI – Perlis Tourism dan PSM dengan kerjasama Pos Malaysia membabitkan Malaysia, Thailand, Singapura, Indonesia, Vietnam serta negara jemputan Bangladesh.

Program tiga hari yang menyasarkan kehadiran lebih 10,000 pengunjung itu menyaksikan lebih 325 bingkai melibatkan setem dari enam negara tersebut selain sebanyak 98 koleksi setem dengan pelbagai tema merangkumi 29 kelas pertandingan antaranya filateli tradisional, sejarah pos, aerofilateli, setem hasil, filateli tematik, poskod bergambar dan filateli remaja.

Sempena majlis pembukaan, para delegasi turut diraikan hidangan tradisional Perlis serta persembahan Awang Batil iaitu salah satu seni penceritaan tradisional yang menjadi warisan kebudayaan negeri ini.

Pengisian tersebut memberi peluang kepada delegasi antarabangsa mengenali adat, warisan dan keunikan budaya Perlis lebih dekat, disamping mewujudkan suasana mesra dalam kalangan peserta.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×