Zeti ‘ceria’ beli setem edisi khas papar imej arwah bapanya

Zeti ‘ceria’ beli setem edisi khas papar imej arwah bapanya

ZETI AKHTAR Aziz bergambar di samping poster koleksi Edisi Cendekiawan di ibu pejabat pos di Dayabumi, Kuala Lumpur. - IHSAN P.OS MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Setelah sekian lama sepi tanpa khabar berita, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz tampil buat julung kali di ibu negara semalam.

Menurut hantaran Pos Malaysia Berhad menerusi laman sosialnya, beliau datang ke ibu pejabat agensi itu di Kuala Lumpur membeli setem edisi khas yang mula dijual semalam.

“Beliau hadir untuk mendapatkan sendiri koleksi setem Edisi Cendekiawan yang memaparkan almarhum ayahandanya, Profesor Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid,” jelasnya.

Pos Malaysia turut memuat naik foto-foto menunjukkan keceriaan Zeti menyantuni petugas firma kurier nasional itu selain menandatangani lembaran sampul hari pertama.

Sambil merakamkan ucapan terima kasih atas sokongan beliau, agensi berkenaan turut mengajak masyarakat khasnya peminat filateli untuk mendapatkan koleksi setem tersebut.

Koleksi kali ini merupakan keluaran terakhir dan menjadi simbolik penutup kalendar 2022 yang bermula dengan edisi khas bertemakan ‘Bunga Boleh Dimakan’ awal Januari lepas.

Ini diikuti antaranya ialah tema Kuih Tradisional, Hidupan Liar Terancam, Air Terjun di Malaysia, Perahu Tradisional, 50 Tahun Bandar Raya Kuala Lumpur dan Hiasan Kepala Lelaki.

Untuk keluaran istimewa terkini itu pula, selain dari Ungku Aziz, dua tokoh lagi ialah Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim dan Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Rashdan Baba.

Penampilan edisi tersebut sebagai usaha menyeru rakyat memperingati cendekiawan hebat itu yang memberi sumbangan kepada negara agar legasi mereka tidak dilupakan.

Setiap set lengkap akan mengandungi sekeping sampul surat hari pertama dengan setem, satu lembaran dan tiga helaian yang masing-masing ada 20 setem bagi setiap tokoh itu.

Kesemua dijual dengan harga RM61.10 dan mereka yang berminat boleh membelinya di semua pejabat pos besar setiap ibu negeri serta 94 cawangan Biro Filateli Pos Malaysia.

Ini termasuk pejabat pos di kebanyakan bandar utama seluruh negara dan empat institusi pengajian tinggi awam sekitar Lembah Klang antaranya Universiti Malaya di ibu negara.

Peminat turut boleh melaksanakan tempahan pembelian atas talian menerusi pautan daripada laman sesawang rasmi Pos Malaysia iaitu http://bit.ly/CendekiawanDiMalaysia

Agensi tersebut yang diwujudkan sejak zaman penjajahan British awal 1800-an, banyak menerbitkan setem khas bersempena tema tertentu atau peringatan peristiwa penting. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya