Koleksi Kingdom of Perlis jadi tarikan - Utusan Malaysia

Koleksi Kingdom of Perlis jadi tarikan

GOH Kien Boon menunjukkan antara koleksi Kingdom of Perlis yang dipamerkan bersempena Pameran Setem Lima Negara Perlis Malaysia 2026 di Dewan 2020, Kangar, Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Koleksi Kingdom of Perlis semasa tempoh pemerintahan Tuanku Raja Syed Alwi Jamalullail menjadi antara tarikan bersempena Pameran Setem Lima Negara Perlis Malaysia 2026 di Dewan 2020.

Pada pameran tersebut, koleksi filateli itu yang dikumpulkan oleh Goh Kien Boon, 61, telah disusun dalam 13 bingkai setem bagi menceritakan perkembangan sejarah pemerintahan berkenaan.

Kien Boon berkata, antara koleksi paling bernilai merupakan setem terawal Kingdom of Perlis yang mempunyai cop menggunakan bahasa tulisan Thailand dibeli dengan harga sekitar RM40,000.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Setem tersebut sangat istimewa kerana hanya terdapat dua sahaja di dunia dan ia mempunyai nilai sejarah yang tinggi. Saya juga mengkaji sejarah setem itu melalui buku serta bahan rujukan dari dalam dan luar negara,” katanya ketika ditemui di pameran berkenaan, hari ini.

Pameran Setem Lima Negara Perlis Malaysia 2026 merupakan anjuran Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (PSSI) – Perlis Tourism dan Persatuan Filateli Malaysia (PSM) dengan kerjasama Pos Malaysia membabitkan Malaysia, Thailand, Singapura, Indonesia, Vietnam serta negara jemputan Bangladesh.

Program tiga hari yang menyasarkan kehadiran lebih 10,000 pengunjung itu bakal menyaksikan lebih 325 bingkai melibatkan setem dari enam negara tersebut selain sebanyak 98 koleksi setem dengan pelbagai tema merangkumi 29 kelas pertandingan antaranya filateli tradisional, sejarah pos, aerofilateli, setem hasil, filateli tematik, poskod bergambar dan filateli remaja.

PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang melihat secara lebih dekat koleksi setem yang dibawakan khas bersempena Pameran Setem Lima Negara Perlis Malaysia 2026 di Dewan 2020, Kangar, Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD

Kien Boon yang juga Naib Presiden Kanan PSM berkata, minatnya dalam bidang itu bermula sejak berusia 11 tahun apabila dia mula mengumpul setem dikutip dari sampul yang dibuang dalam tong-tong sampah pejabat kerajaan.

“Dulu saya duit tidak ada untuk beli setem, jadi saya pergi ke tong sampah kerajaan dan kutip setem daripada situ. Masa itu saya kumpul apa sahaja setem termasuk setem dari Singapura, Thailand dan pelbagai lagi.

“Malah sebahagian besar perjalanan saya lebih lima dekad dalam dunia filateli turut diabadikan menerusi koleksi Kingdom of Perlis yang pernah dipamerkan di London 2022 International Stamp Exhibition di London, United Kingdom,” katanya.

Bapa kepada dua anak itu berkata, sepanjang terlibat dalam dunia filateli, dia telah membelanjakan RM2 juta bagi mengumpulkan semua koleksi-koleksi unik tersebut.

Dia yang dikenali sebagai Mr Perlis dalam kalangan komuniti filateli turut memaklumkan bahawa keseluruhan koleksi setem dikumpulkan itu disimpan dalam bilik berhawa dingin bagi memastikan kualitinya sentiasa terpelihara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×