SERDANG: Datuk Seri Mukhriz Mahathir hari ini memohon orang ramai supaya memaafkan sebarang kesilapan atau salah laku yang dilakukan oleh Allahyarham ibunya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali sepanjang hayatnya.
Bercakap selepas solat jenazah Dr Siti Hasmah di Masjid As Syarif, Taman Sungai Besi Indah, Mukhriz turut meminta mana-mana pihak yang mempunyai tuntutan hutang tertunggak membabitkan ibunya supaya menghubungi pihak keluarga.
Beliau berkata, pihak keluarga akan melakukan yang terbaik untuk melunaskan sebarang hutang ditinggalkan Allahyarham.
“Jika ada apa-apa kesilapan atau salah laku daripada pihak beliau, ampun dan maaf kami pinta.
“Selain itu, sekiranya ada hutang piutang yang belum selesai, sila berurusan dengan kami pihak keluarga. Insya-Allah, kami akan menyelesaikannya sebaik mungkin,” katanya.
Mukhriz berkata demikian selepas lebih 2,000 jemaah berkumpul di masjid berkenaan bagi menunaikan solat jenazah Dr Siti Hasmah yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 9.20 pagi tadi.
Solat jenazah itu diadakan sebanyak dua kali dengan solat pertama diimamkan oleh Ustaz Muhammad Danial Hussan, manakala solat kedua oleh wakil keluarga, Ustaz Basyir.
Solat jenazah selesai kira-kira jam 5.15 petang, sebelum jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Presint 20, Putrajaya, untuk disemadikan menerusi Istiadat Pengebumian Negara bagi Tokoh Negara yang dikurniakan kerajaan.
Suasana hiba menyelubungi masjid apabila ahli keluarga, pemimpin politik, rakan-rakan serta orang ramai berkumpul bagi memberikan penghormatan terakhir.
Antara yang hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Terdahulu, Anwar mengumumkan Allahyarham Dr Siti Hasmah akan diberikan istiadat pengebumian negara berikutan pemergiannya.
Jabatan Perdana Menteri kemudiannya memaklumkan Allahyarham akan menerima Istiadat Pengebumian Negara bagi Tokoh Negara.
Dr Siti Hasmah, 100, adalah isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Anwar sebelum ini menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar buat masyarakat dan negara, selain mengajak hadirin di satu majlis yang dirasmikannya supaya membacakan surah Al-Fatihah untuk Allahyarham.











