Pahang sasar bina 25,000 unit rumah mampu milik - Utusan Malaysia

Pahang sasar bina 25,000 unit rumah mampu milik

MOHAMMAD Fakhruddin Mohd. Ariff (dua kiri) melakukan gimik pelancaran Rumah PRIMA Pahang Pelangi Jaya (Fasa 1A) di Kampung Gadak, Muadzam Shah di Rompin, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: Kerajaan Pahang menyasarkan pembinaan 25,000 unit rumah mampu milik di seluruh negeri bagi memastikan lebih ramai rakyat berpeluang memiliki kediaman sendiri.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd. Ariff berkata, kira-kira 9,000 unit sudah siap dibina, manakala selebihnya berada pada pelbagai peringkat termasuk perancangan, permohonan kelulusan dan pembinaan.

Katanya, setiap permohonan akan diteliti dengan rapi bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak menerima manfaat, selain proses saringan termasuk aspek kelayakan dan pembiayaan pembeli sentiasa ditambah baik.

“Kira-kira 1,300 unit Rumah Rakyat Pahang (RRP) sudah siap dibina dengan nilai perbelanjaan hampir RM100 juta dan diberikan secara percuma kepada golongan miskin tegar yang benar-benar tidak mempunyai kediaman,” katanya pada Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang Kampung Gadak dan Majlis Pelancaran PR1MA Pahang Pelangi Jaya (Fasa 1A) serta PR1MA Pahang Muadzam Shah (Fasa 1) di pekarangan PR1MA Pahang Kampung Gadak Muadzam Shah di sini hari ini.

Mohammad Fakhruddin berkata, kerajaan negeri turut menyediakan pelbagai skim perumahan mengikut kategori pendapatan rakyat bagi memastikan setiap lapisan masyarakat berpeluang memiliki rumah.

“Sebagai contoh, Rumah Makmur disasarkan kepada isi rumah berpendapatan RM5,000 ke bawah, Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi pendapatan RM3,000 ke bawah, manakala Rumah PR1MA Pahang untuk isi rumah berpendapatan sehingga RM10,000 sebulan,” katanya.

Beliau berkata, subsidi yang disediakan kerajaan negeri bagi projek perumahan merupakan komitmen besar bagi memastikan harga rumah kekal mampu dimiliki rakyat.

Dalam pada itu, katanya, setiap projek perumahan baharu di Pahang pada masa akan datang dicadang tidak hanya menyediakan rumah untuk didiami, sebaliknya turut mempunyai ruang khas bagi pendidikan awal kanak-kanak.

Sehubungan itu, Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) diminta merizabkan lot khas bagi pembinaan tadika dalam pembangunan perumahan baharu bagi memastikan kemudahan berkenaan mudah diakses penduduk setempat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN