BESUT: Lebih empat dekad memikul amanah menjaga anak orang kurang upaya (OKU) terlantar, sepasang suami isteri dari Kampung Baru Tok Dor di sini, cekal mengharungi kehidupan walaupun semakin dimamah usia.
Sudah menjadi rutin bagi Halimah Said, 65, dan suaminya, Mat Ail Mamat, 78, menguruskan cahaya mata keempat mereka, Rosnani Mat Ail, 41, yang memerlukan penjagaan seperti bayi.
Halimah berkata, anaknya itu hampir lemas ketika proses bersalin sehingga menyebabkan kekurangan oksigen ke otaknya.
“Sebaik sahaja dilahirkan, Rosnani dimasukkan ke wad Hospital Kota Bharu selama dua minggu sebelum dibenarkan pulang. Selepas beberapa bulan, perkembangannya mula menunjukkan kelainan apabila badannya lemah dan tidak aktif seperti bayi lain.
“Doktor pakar memaklumkan perkembangan dia mungkin lambat tetapi apabila berusia lapan bulan, tangan dan kakinya semakin kaku serta membengkok sehingga menyebabkannya terlantar sampai sekarang,” katanya ketika ditemui di Kampung Baru Tok Dor.
Menurut Halimah, walaupun anak keempat dari 11 beradik itu mencecah usia 41 tahun, dia perlu dijaga seperti bayi kerana tidak mampu duduk, bercakap atau menguruskan diri sendiri.
Katanya, demi keselesaan Rosnani, semua keperluan termasuk memberi susu, menukar lampin pakai buang, mandi dan mengubah posisi badan dilakukan setiap hari oleh mereka dengan dibantu anak-anak lain.
“Kasih sayang seorang ibu tidak pernah berubah walaupun anak tidak sempurna. Selagi ada kudrat, saya dan suami terus menjaganya.
“Cuma sekarang usia kami semakin lanjut dan kesihatan juga tidak seperti dahulu. Saya menghidap darah tinggi dan kencing manis manakala suami juga semakin uzur,” katanya.
Ujarnya, antara perkara yang paling meresahkan fikirannya adalah memikirkan nasib Rosnani sekiranya dia dan suaminya sudah tiada.
Katanya, mereka kini banyak bergantung kepada bantuan anak-anak yang tinggal bersama bagi menguruskan Rosnani, selain mengharapkan sumbangan orang ramai.
Rosnani adalah penerima bantuan bulanan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun hampir keseluruhan bantuan itu digunakan untuk membeli susu dan lampin pakai buang yang menelan belanja kira-kira RM500 sebulan.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan ke akaun Mat Ail Mamat iaitu 1111841000131685 (Bank Simpanan Nasional). – UTUSAN










