PADANG BESAR: Luluh hati seorang ibu apabila anak perempuan kesayangan berusia 12 tahun yang terlantar dan hampir lumpuh selepas dipercayai dibuli di sekolah sebelum ini telah disyor untuk didaftarkan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU)
Ibu mangsa, Norasikin Hasin, 32, berkata, pihak hospital baru-baru ini mengeluarkan surat pengesahan bagi membolehkan anaknya yang mesra disapa sebagai kakak itu didaftarkan di bawah kategori OKU berikutan tahap fizikal dan kesihatannya semakin merosot.
Menurut Norasikin, dia sememangnya berbelah bahagi untuk meneruskan pendaftaran itu memandangkan anaknya itu dilahirkan secara normal dan membesar dengan aktif seperti kanak-kanak lain sebelum ini.
“Sehingga kini, saya masih berbelah bahagi sama ada mahu mendaftarkannya sebagai OKU atau tidak kerana sukar untuk menerima kenyataan apa yang menimpa dirinya.
“Hati ibu mana yang tidak sedih, anak dilahirkan sihat dan cemerlang tetapi sekelip mata hidupnya berubah hanya kerana perbuatan buli,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini pernah melaporkan pasangan suami isteri dari Chuping, di sini, memohon keadilan buat anak sulung mereka berusia 12 tahun yang didakwa menjadi mangsa buli fizikal dan mental di sekolah.
Norasikin dan suaminya, Muhamad Abdul Hadi Mohd Fauzi, 32, mendakwa anak sulung mereka itu telah dibuli pada Februari lalu dan turut mengadu sakit belakang selepas pulang dari asrama sebuah sekolah di sini.
Dalam pada itu, Norasikin turut menzahirkan kekecewaan terhadap sikap pihak pentadbiran sekolah serta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) yang didakwa bersikap lepas tangan dan mendiamkan diri tanpa sebarang perkembangan lanjut berkaitan nasib anaknya itu.
“Saya sangat terkilan kerana sehingga sekarang pihak berwajib seakan memejamkan mata. Tiada wakil JPN yang datang menziarah, pihak pengetua sekolah juga terus menyepikan diri langsung tanpa sebarang penjelasan mahu pun keprihatinan,” katanya.-UTUSAN










