RAUB: Seluruh ekosistem industri durian negara boleh ‘gulung tikar’ sekiranya pasaran eksport utama iaitu ke China terjejas.
Sehubungan itu, tiada cara lain buat pekebun durian negara melainkan mereka perlu mengikut standard pengeksportan durian yang telah ditetapkan China walaupun ia dilihat membebankan.
Pengeksport Kilang Bungkusan Buah Durian, Brandon Quah, 46, berkata, memang pelbagai syarat ketat dikenakan pihak berkuasa China melalui General Administration of Customs of the People’s Republic of China (GACC) bagi kemasukan durian segar dari Malaysia.
Namun katanya, syarat itu perlu dilihat daripada sudut positif iaitu satu jaminan bagi mengekalkan reputasi premium durian Malaysia.
“Walaupun standard itu kelihatan membebankan namun ia jaminan bagi mengekalkan reputasi premium durian Malaysia di pasaran antarabangsa.
“Ia bagi memastikan raja buah Malaysia ini kekal menjadi pilihan di China. Jika pasaran China terjejas, seluruh ekosistem boleh gulung tikar daripada pekebun hinggalah logistik rantaian sejuk,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan mencari jalan memperluas akses pasaran durian Malaysia ke China.
Ia sekali gus membantu meningkatkan permintaan dan menstabilkan harga yang ketika ini menjejaskan pendapatan pekebun di sebalik standard dan syarat ketat dikenakan oleh negara itu.
Brandon sementara itu berkata, antara syarat ketat oleh China adalah durian yang dieksport ke negara itu tidak boleh dibiarkan luruh ke tanah.
“Durian gred premium seperti Musang King tidak boleh dibiarkan luruh ke bumi. Sebaliknya setiap buah wajib diikat dengan tali atau jaring sejak bersaiz bola tenis bagi memastikan ia tidak tercemar oleh bakteria tanah atau kulat.
“Pihak China menitikberatkan aspek biosekuriti, kualiti fizikal buah dan rantaian logistik. Setiap buah dari negara ini wajib berdaftar dan mendapat kelulusan audit daripada Jabatan Pertanian Malaysia (DOA) serta GACC. Setiap ladang juga mestilah memiliki sijil Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP).
“Pengurusan Perosak Bersepadu (IPM) mesti diamalkan. Ladang perlu bebas daripada ulat pengorek buah dan penyakit kritikal. Pemantauan berkala dan pemasangan perangkap lampu juga wajib.
“Setiap biji durian mesti dibersihkan menggunakan berus khusus dan semburan angin bertekanan tinggi bagi memastikan tiada langsung habuk, tanah, semut, kutu atau serangga yang melekat pada duri. Pekerja juga memeriksa buah menggunakan kanta pembesar,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Quah berkata, setiap kotak juga wajib mempunyai label standard yang mengandungi kod ladang, kod rumah pembungkusan, nombor kelompok, tarikh dan perkataan khusus, Exported to the People’s Republic of China.
“Daripada segi kualiti fizikal dan gred, hanya buah yang ‘sempurna’ sahaja layak dihantar. Gred premium contohnya Musang King gred A, bentuk buah mesti bulat atau simetri sempurna (mempunyai ulas yang penuh). Kulit buah mesti utuh, tiada rekahan, tiada kesan gigitan haiwan atau cacat cela,” katanya.
Beliau berkata, rundingan dan kerjasama baik antara Malaysia dan China sudah tentu diperlukan bagi memastikan kelangsungan eksport durian segar ke negara Asia Timur itu.
“Hubungan diplomatik yang stabil menjadi kunci agar raja buah Malaysia terus menembusi pasaran negara tembok besar itu tanpa gangguan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pekebun Buah-Buahan Pulau Pinang, Kie Kim Hwa berkata, pekebun durian di negara ini perlu melengkapkan data kebun serta pengeluaran hasil mereka secara menyeluruh.
Ia bagi memudahkan usaha kerajaan memperluaskan eksport durian ke China sekali gus membuka lebih banyak peluang pasaran kepada pengusaha tempatan.
Katanya, data yang lengkap termasuk keluasan kebun, jumlah pengeluaran tahunan serta maklumat pekebun amat penting bagi memenuhi keperluan pihak berkuasa China sebelum sebarang urusan eksport dapat dilaksanakan.
Menurutnya, dalam hal ini, setiap negara mempunyai syarat tersendiri bagi kemasukan produk pertanian dan Malaysia juga perlu mematuhi segala prosedur yang ditetapkan jika ingin menembusi pasaran China.
“Kita mesti ada data yang lengkap. Kerajaan perlu tahu berapa keluasan kebun, berapa hasil setahun dan siapa pengusahanya. Bila ada data, barulah kerajaan boleh berunding dan buat kerja dengan lebih mudah,” katanya.
Ketua Bidang Sains Tanah Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Madya Ts. Dr. Nur Maizatul Idayu Othman pula berkata, Malaysia harus memperkasakan daya saingnya memandangkan negara jiran, Thailand jauh lebih berpengalaman dalam pasaran eksport ke China.
“Memandangkan status Malaysia yang masih baharu dalam mengeksport durian segar ke negara tembok besar itu, ketidakkonsisten gred buah akibat kualiti penanaman yang lemah boleh menjejaskan reputasi tinggi durian premium tempatan seperti Musang King.
“Sebagai langkah jangka panjang, kerajaan dan pekebun perlu melaksanakan perancangan zon tanaman mengikut kesesuaian tanah bagi memastikan perluasan kawasan tanaman dilakukan secara mampan tanpa menjejaskan kualiti tanah jangka panjang,” kataya.
Pada tahun lalu, jumlah eksport durian Malaysia iaitu buah segar dan beku ke China mencatatkan nilai AS$239 juta berbanding eksport durian Thailand (AS$4 bilion) dan Vietnam (AS$3.44 bilion).-UTUSAN.










