KANGAR: Abu Bakar Hamzah dijangka dipecat daripada jawatan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri sebagai tindak balas daripada keputusannya meletak jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan (MPT) parti baru-baru ini.
Menurut sumber, kedudukan Abu Bakar sebagai Pengerusi Bersatu negeri itu dijangka diganti dengan timbalannya, Izizam Ibrahim yang juga merupakan Exco kerajaan negeri.
Kata sumber berkenaan, bagaimanapun, kedudukan Abu Bakar sebagai Menteri Besar dijangka tidak terjejas dan bakal bertahan sehingga habis penggal.
“Dijangka Presiden (Bersatu) akan memecat Abu Bakar selaku Pengerusi Bersatu Perlis dan digantikan dengan timbalannya. Ia berkemungkinan disebabkan peletakan jawatan Abu Bakar sebagai Ahli MPT,” katanya.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, Abu Bakar dan seorang Exco kerajaan negeri meletak jawatan Ahli MPT selain pengisytiharan keluar parti oleh Setiausaha Bersatu negeri merangkap Ahli Dewan Negara, Azahar Hassan.
Kata Abu Bakar, peletakan jawatan beliau sebagai Ahli MPT adalah bagi memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tugas sebagai Menteri Besar berbaki kira-kira setahun sebelum tamat penggal Dewan Undangan Negeri (DUN).
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam responnya selepas itu memaklumkan bahawa Bersatu kekal kukuh dan utuh meskipun terdapat beberapa pemimpin tertinggi parti termasuk Abu Bakar mengambil keputusan melepaskan jawatan dalam barisan MPT.
Muhyiddin berkata, beliau akan mendapatkan laporan lengkap terlebih dahulu sebelum memberikan sebarang ulasan lanjut mengenai kedudukan sebenar pemimpin berkenaan.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut menegaskan bahawa walaupun pemimpin terbabit meletakkan jawatan dalam kepimpinan tertinggi, mereka secara rasminya masih kekal sebagai ahli Bersatu dan segala isu dalaman akan diselesaikan secara tertutup.
Sementara itu, Abu Bakar ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, jangkaan beliau dipecat Pengerusi Bersatu negeri boleh berlaku namun terserah segala keputusan kepada Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Katanya, keputusan melantik atau memecat tersebut adalah hak presiden.
“Keberangkalian itu ada (dipecat Pengerusi Bersatu Perlis). Saya serah kepada Presiden, itu hak peribadi beliau untuk saya dikekalkan atau tidak,” katanya.-UTUSAN










