SHAH ALAM: Urusan pengebumian jenazah seorang lelaki di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, kelmarin didakwa tertangguh susulan ia dibawa ke sana oleh waris tanpa Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam dan Daftar Kematian.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, pihaknya juga menafikan pengurusan Masjid Nurul Hidayah menuntut bayaran sebanyak RM1,400 daripada waris bagi menguruskan jenazah.
Katanya, kekecohan bermula apabila ahli keluarga arwah iaitu datuknya berkeras supaya jenazah diuruskan oleh Badan Kebajikan Salautlrahim (BKS) selepas bapa arwah berjumpa dengan pembantu pengurus masjid pada pukul 10.30 pagi, Khamis lalu bagi mendapatkan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam.
“Borang itu diperlukan bagi membolehkan jenazah dikebumikan di lokasi tersebut. Bapa arwah juga bersetuju agar pengurusan masjid ambil alih daripada BKS untuk meneruskan urusan pengebumian jenazah.
“Pihak masjid mengeluarkan borang tersebut pada pukul 11.15 pagi selepas menerima Daftar Kematian yang asal. (Namun) Pihak masjid juga dimaklumkan datuk arwah berkeras supaya jenazah diuruskan oleh BKS.
“Mengambil kira kemungkinan berlaku kekecohan di tempat pengurusan jenazah, pihak masjid meminta bantuan pihak polis untuk bersama ke tempat pengurusan jenazah di Surau An-Nur, Taman Cempaka sebelum dimaklumkan yang jenazah sudah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan jenazah seorang lelaki didakwa terpaksa dibiarkan dalam liang lahad tanpa dikebumikan selama sejam 20 minit selepas pengurusan sebuah masjid di Kampung Pandan, Ampang dikatakan menuntut bayaran sebanyak RM1,400.
Situasi tersebut dikatakan berpunca daripada pihak pengurusan masjid berkenaan menahan permit mengubur yang sudah pun diterima oleh ahli keluarga selepas mereka menolak untuk membayar wang tersebut sebagai upah menguruskan.
Hasil siasatan dan semakan JAIS mendapati jenazah merupakan ahli kariah Masjid Nurul Hidayah, Kampung Pandan Dalam dan meninggal dunia pada 25 Jun pada pukul 6.22 pagi. Di peringkat awal, waris berurusan dengan BKS.
Bagaimanapun, Mohd. Shahzihan mendakwa berlaku pemalsuan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam sehingga membolehkan waris membawa jenazah ke tanah perkuburan berkenaan dan meletakkan ke dalam liang lahad.
Tindakan itu dikesan selepas waris membawa jenazah ke tanah perkuburan tanpa kedua-dua dokumen borang dan Daftar Kematian menyebabkan urusan pengebumian tidak dapat disempurnakan selepas pengurusan Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana menghubungi pihak masjid.
“Pihak masjid kemudiannya membawa dokumen yang sah tersebut ke tanah perkuburan untuk membolehkan pengebumian tersebut disempurnakan.
“Pihak masjid juga mendapati bahawa Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam yang dikemukakan oleh waris kepada pengurusan kubur yang membolehkan keberadaan jenazah di liang lahad didapati palsu. Oleh itu, satu laporan polis dibuat berkaitan pemalsuan dokumen tersebut semalam,” jelasnya. – UTUSAN










