Mandiri fail saman RM10 juta terhadap AMK

Mandiri fail saman RM10 juta terhadap AMK

AMIR HARIRI ABD. HADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Mandiri mengesahkan writ saman RM10 juta terhadap Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berhubung dakwaan penerimaan dana asing sedang dimuktamadkan dan dijangka difailkan di mahkamah selewat-lewatnya minggu ini.

Pengarah Eksekutif Mandiri, Amir Hariri Abd. Hadi berkata, pihak peguam ketika ini sedang menyelesaikan proses akhir penyediaan writ saman sebelum tindakan undang-undang itu diteruskan.

“Pihak peguam masih sedang memuktamadkan writ saman. Ambil masa sedikit sebab kami nak pastikan ia dihantar secara lengkap.

“Jadi isu ini memang akan dibawa ke mahkamah dan paling lewat minggu ini akan dihantar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, Kamil didakwa mengaitkan Mandiri dengan penerimaan dana asing daripada organisasi berpangkalan di Amerika Syarikat yang kononnya digunakan untuk mempengaruhi politik negara dan menggerakkan agenda tertentu.

Susulan dakwaan itu, Mandiri menghantar LOD kepada Kamil pada Mei lalu dan menuntut beliau menarik balik kenyataan serta memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 48 jam sebelum tindakan undang-undang diambil.

Dalam pada itu, beliau menegaskan tiada sebarang rundingan atau usaha penyelesaian di luar mahkamah dilakukan antara kedua-dua pihak sejak surat tuntutan (LOD) dihantar.

Amir berkata, perkara itu akan diserahkan sepenuhnya kepada proses perundangan untuk diputuskan oleh mahkamah.

“Kenyataan yang dibuat telah menjejaskan reputasi Mandiri sebagai sebuah organisasi masyarakat sivil.

“Perincian mengenai kesan dan kerugian yang dialami organisasi itu akan dihuraikan dalam prosiding mahkamah kelak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN