UMNO kekal relevan untuk Malaysia

UMNO kekal relevan untuk Malaysia

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO kekal relevan dalam medan politik negara selepas menerima sokongan ramai anak muda menerusi pendaftaran dalam talian yang dilakukan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu melalui pelbagai fasa jatuh dan bangun sejak 80 tahun lalu termasuk diuji dengan cabaran politik, perpecahan, persepsi serta perubahan zaman.

Beliau berkata, UMNO terus berdiri kerana kekuatannya bukan terletak pada nama semata-mata tetapi pada jiwa perjuangan ahli-ahlinya yang tetap setia mempertahankan agama, bangsa dan tanah air.

“Sebagai Presiden UMNO, antara perkara yang paling menggembirakan saya adalah melihat semakin ramai anak muda memilih untuk bersama UMNO melalui pendaftaran keahlian secara dalam talian.

“Ini memberi isyarat bahawa UMNO terus bergerak seiring peredaran zaman dan masih diyakini sebagai wadah penting dalam mempertahankan kestabilan serta masa depan negara,” katanya hari ini sempena Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-80.

Ahmad Zahid berkata, tanggal 11 Mei 1946 merupakan tarikh keramat lahirnya sebuah perjuangan besar bangsa Melayu yang terus bertahan merentasi zaman.

“Alhamdulillah, beberapa hari lalu kita telah bersama-sama meraikan Sambutan 80 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) sebagai tanda memperkukuh tekad untuk terus mempertahankan parti keramat ini.

“Kehadiran ribuan ahli dari seluruh negara, semangat yang ditunjukkan serta kesetiaan akar umbi yang tidak pernah padam benar-benar menyentuh hati saya,” katanya.

Beliau berkata, perjuangan belum selesai kerana masih banyak yang perlu dibina, disatukan dan diperbetulkan demi generasi akan datang.

“Insya-Allah, dengan semangat kebersamaan dan kekuatan akar umbi, UMNO akan terus melangkah gagah menuju usia 100 tahun sebagai Rumah Bangsa, rumah besar perjuangan bangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN