KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai syarat kemasukan ke program Asasi di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS).
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, syarat kemasukan yang ditetapkan oleh pihak KIAS jelas menyatakan program Asasi hanya terbuka kepada calon yang memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau kelayakan lain yang setaraf serta diiktiraf.
“Sehingga kini tiada pengiktirafan diberikan terhadap kelayakan tersebut bagi tujuan kemasukan ke program berkenaan.
“Calon yang hanya memiliki kelayakan UEC adalah tidak layak dipertimbangkan bagi kemasukan ke program Asasi KIAS katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Wan Roslan memberitahu, sebarang perubahan terhadap dasar atau syarat kemasukan akan dimaklumkan melalui saluran rasmi kolej universiti itu dari masa ke semasa.
Katanya, orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut diminta merujuk laman rasmi KIAS atau menghubungi Unit Kemasukan Pelajar institusi berkenaan.
Terdahulu, tular dakwaan mengatakan Kerajaan Kelantan mengiktiraf UEC untuk kemasukan ke KIAS.-UTUSAN










