SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sekali lagi menegaskan baginda tidak berkenan dengan pembinaan ladang babi di mana-mana kawasan di negeri ini dan menitahkan supaya isu tersebut dihentikan.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, baginda bertitah, meskipun menggunakan teknologi penternakan moden bagi mengelak sebarang risiko termasuk terhadap alam sekitar, kosnya terlalu tinggi dan tidak berpadanan untuk memenuhi keperluan di negeri ini sahaja.
Katanya, baginda juga menegaskan pendirian tersebut seperti mana dalam titah menerusi kenyataan pada 10 Februari lalu.
“Baginda mencadangkan agar daging babi diimport dari negeri lain seperti Sarawak bagi memenuhi keperluan masyarakat bukan Islam yang makan babi di Negeri Selangor. Bahkan negara seperti Singapura juga tidak menternak babi, sebaliknya mengimport dari luar.
“Sultan Selangor juga berpandangan bahawa penternakan babi berskala besar mahupun kecil adalah tidak sesuai dilaksanakan di Selangor memandangkan sumber tanah terhad serta nilai hartanah yang tinggi, sewajarnya dimanfaatkan untuk tujuan pembangunan lebih ekonomik dan memberi manfaat kepada masyarakat secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Tambahnya, pendirian tersebut dibuat Sultan Sharafuddin selepas mengambil kira implikasi penternakan babi yang boleh menyebabkan pencemaran pada tanah, udara dan risiko pencemaran sumber air sungai melalui pelepasan najis dan sisa kumbahan babi.
“Baginda turut menzahirkan kebimbangan bahawa aktiviti berkenaan boleh menjejaskan kawasan tadahan air serta sungai-sungai yang menjadi sumber bekalan air bersih kepada penduduk kira-kira 9 juta penduduk di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Sehubungan itu, Sultan Selangor menegaskan agar isu penternakan babi dihentikan dan dimuktamadkan sepenuhnya (full stop) demi mengelakkan keresahan masyarakat serta memastikan keamanan dan keharmonian rakyat di Selangor terus terpelihara,” ujarnya. – UTUSAN










