SEREMBAN: Enam pembesar adat di negeri ini telah mengemukakan notis kepada Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan, Raja Norazli Raja Nordin mengarahkan supaya jemputan dibuat ke sidang khas dewan berkenaan pada 29 Mei ini.
Menurut notis itu yang ditujukan kepada Raja Norazli, majoriti ahli DKU telah bersetuju supaya sidang khas itu diadakan di Balai Rasmi Tunku Besar Tampin di Tampin mulai pukul 9 pagi pada hari berkenaan.
Notis itu ditandatangani oleh Undang Luak Sungai Ujong yang didakwa sudah dipecat, Datuk Mubarak Thahak; Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah dan Undang Luak Rembau, Abdul Rahim Yasin.
Turut menandatangani notis itu ialah Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Syed Idrus Al-Qadri dan Datuk Shahbandar Sungei Ujong, Datuk Seri Badarudin Abdul Khalid.
“Kami selaku ahli yang bermajoriti dalam DKU sebagaimana yang diperuntukan dalam Perkara 17 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dan amalan adatnya dengan ini memerintahkan Setiausaha DKU menguruskan bagi memanggil Sidang Khas DKU pada tarikh berkenaan.
“Sidang khas ini khusus untuk membincangkan isu-isu berbangkit berkaitan kemelut pemerintahan dan pentadbiran adat yang semakin meruncing di negeri ini dan kami percaya bahawa sidang ini adalah sangat mustahak demi kepentingan Negeri Sembilan,” kata para pembesar berkenaan dalam notis itu yang dilihat oleh Mingguan Malaysia.
Mereka menegaskan, perkara itu adalah selaras dengan Perkara 16(1) dan (3) undang-undang tubuh negeri ini yang memberi kuasa mutlak kepada DKU bagi membincangkan sebarang persoalan berkaitan adat dalam negeri ini dan kewajipan para pembesar adat menurut perlembagaan negeri ini dan mana-mana undang-undang yang bertulis.
Notis berkenaan turut mengarahkan Raja Norazli menjemput semua ahli DKU supaya menghadiri sidang khas tersebut.
“Kami telah kebulatan (sebulat suara) untuk menjemput Ketua Setiausaha Negara dan Peguam Negara ke sidang khas ini selaku pemerhati bebas sebagai tambahan kepada ahli-ahli jemputan biasa,” kata notis berkenaan.-UTUSAN.










