KUANTAN: Kerajaan Pusat diharap memberi pertimbangan sewajarnya berhubung kelulusan eksport pasir sungai kepada Pahang bagi memastikan sumber hasil negeri diurus secara bertanggungjawab, lestari dan memberi pulangan terbaik kepada negeri serta rakyat.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, berdasarkan anggaran semasa, stok pasir di Sungai Pahang berpotensi menjana hasil sekitar RM500 juta yang boleh dimanfaatkan untuk pelbagai keperluan pembangunan negeri.
“Ia termasuk pembangunan kawasan luar bandar, perumahan rakyat, pendidikan, kesihatan dan pelaksanaan pelbagai inisiatif kebajikan di bawah program Inisiatif Makmur Pahang.
“Pada masa sama, aktiviti pengorekan pasir yang dilaksanakan secara terkawal turut memberi manfaat kepada aspek pengurusan sungai dengan membantu mendalamkan sungai, melancarkan aliran air dan mengurangkan risiko banjir khususnya ketika musim tengkujuh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata, bagi tujuan tersebut, kerajaan Negeri akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam bagi membincangkan perkara terbabit secara menyeluruh.
“Saya berharap perkara ini dapat diberi pertimbangan secara positif demi mencari penyelesaian yang terbaik dan memberi manfaat kepada semua pihak khususnya kepada negeri Pahang,” katanya. – UTUSAN










