KUANTAN: Lebih 10,000 pelancong mengunjungi pantai Teluk Cempedak di sini bagi menyaksikan pelbagai acara Festival Suka Air Kuantan 2026 yang berlangsung tiga hari berakhir semalam.
Orang ramai yang hadir turut terhibur dengan persembahan Zuhairi Free Styler yang mempamerkan kehebatannya menimang bola dalam pelbagai teknik dan aksi.
Penonton juga dijemput mencuba bakat bersama free styler itu yang kini berada di kelompok lima terbaik Asean dan pernah beberapa kali memenangi gelaran kebangsaan.
Festival itu adalah antara acara bagi menyemarakkan kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 oleh Tourism Malaysia, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Selain aksi free styler bola sepak, pelbagai acara lain dilangsungkan seperti pertandingan bola sepak pantai, sukaneka air, boling pantai buah kelapa dan sauk ikan.
Pengunjung turut mengambil bahagian dalam beberapa acara yang diadakan.
Selain itu, pengunjung juga mengambil peluang bersantai bersama keluarga dan menikmati pelbagai juadah di gerai jualan yang disediakan di sepanjang Pantai Teluk Cempedak.
Turut memeriahkan acara ialah penampilan bekas bintang bola sepak Malaysia dan Pahang, iaitu Ahmad Shahrudin Rosdi, Azamudin Akil dan Juzaili Samion.
Selain bertemu serta bergambar dengan peminat, mereka turut menyampaikan hadiah kepada pemenang dalam acara bola sepak pantai.
Pengarah acara, Jazri Danish berkata, kehadiran bekas idola bola sepak Pahang itu turut memeriahkan acara yang bertujuan meningkatkan industri pelancongan domestik. – UTUSAN










