KANGAR: Agrobank membuka cawangan baharunya di Taman Putra Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) Kuala Perlis di sini dengan majlis perasmiannya telah disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di sini. kelmarin.
Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda, Sharifah Farah Adriana Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.
Tengku Ahmad dalam ucapan berkata, pembukaan cawangan baharu itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan Agrobank memperluas akses perkhidmatan kewangan kepada komuniti setempat.
Katanya, cawangan baharu itu dilengkapi kemudahan mesin juruwang automatik (ATM) serta perkhidmatan transaksi tunai seperti deposit dan pengeluaran wang.
“Perkhidmatan yang disediakan membolehkan pelanggan menikmati akses perbankan 24 jam secara lebih mudah dan pantas selari dengan peningkatan penggunaan transaksi layan diri,” katanya.
Cawangan Kuala Perlis merupakan rangkaian Agrobank ke-28 di wilayah utara meliputi Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.
Pada majlis sama, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyaksikan penyerahan sumbangan Pre-Google For Education Reference Institution (PRE-GRI) kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Perlis berjumlah RM161,000.
Tengku Ahmad berkata, cawangan baharu itu turut menawarkan perkhidmatan Ar-Rahnu Agrobank sebagai projek perintis pertama di Kuala Perlis bagi menyediakan akses tunai segera kepada komuniti setempat.
“Agrobank akan terus menyediakan sokongan pembiayaan serta khidmat nasihat kepada usahawan tempatan termasuk nelayan, petani dan agropreneur.
“Ini penting membantu mereka mengembangkan perniagaan secara lebih mampan serta meningkatkan produktiviti komuniti setempat,” katanya.-UTUSAN.










