Tradisi main belalang 'kegilaan' generasi baharu

Tradisi main belalang ‘kegilaan’ generasi baharu

SEBAHAGIAN peserta yang menyertai Pertandingan Belalang Tertutup Terengganu di Kampung Sungai Lerek, Setiu, Terengganu. - MINGGUAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Gemersik suara nyaring belalang kerek atau belalang rusa yang biasanya ‘bernyanyi’ di hutan kini menjadi kegilaan peminat serangga itu tanpa mengira usia.

Keunikan bunyi belalang rusa diangkat sebagai acara pertandingan apabila permainan tradisional itu dibangkitkan kembali dan menarik tumpuan semua generasi daripada kanak-kanak sehingga warga emas.

Seorang peminat, Norazme Mamat, 55, dari Kampung Sungai Lerek di sini berkata, pertandingan belalang kerek sangat popular di negara jiran sebelum dibawa masuk ke Kelantan sejak berpuluh tahun lalu dan kini ‘merebak’ ke Terengganu.

“Pada tahun 80-an, permainan belalang kerek ini sangat terkenal tetapi dengan peredaran zaman ia seolah-olah dilupakan seketika sebelum kembali menjadi kegilaan masyarakat Melayu.

JURI menilai keunikan sarang belalang yang dipertandingkan peserta dalam Pertandingan Belalang Tertutup Terengganu di Kampung Sungai Lerek, Setiu, baru-baru ini. – MINGGUAN/PUQTRA HAIRRY

“Permainan ini tidak diukur dari segi umur peserta mahupun bilangan belalang yang dimiliki tetapi ia dinilai kelantangan, kejelasan serta tempoh bunyi yang dihasilkan serangga tersebut,” katanya ketika di temui di Kampung Sungai Lerek.

Katanya, dalam masa 60 saat, juri merekodkan berapa kali belalang tersebut berbunyi dan pertandingan itu berlangsung sepenuhnya dalam keadaan gelap tanpa cahaya.

Menurutnya, cahaya atau bunyi yang bising boleh mempengaruhi serangga itu sehingga membuatkannya enggan berbunyi.

Justeru itu, setiap pertandingan yang dianjurkan dilakukan di kawasan lapang seperti padang yang luas dengan suasana gelap selain penggunaan cahaya yang minimum.

KENANGAN ZAMAN KANAK-KANAK

Sementara itu, Alias Othman, 58, berkata, permainan belalang kerek mengimbas kembali kenangan waktu kecilnya bermain bersama rakan-rakan.

Menurutnya, rasa rindu kenangan lalu seolah-olah terubat apabila melihat suasana pertandingan meriah seperti dahulu meskipun zaman berubah dan pelbagai permainan canggih dicipta.

Menambah nostalgia apabila serangga itu perlu dicari sendiri oleh pemain dan memerlukan kemahiran dalam mendapat belalang yang berpotensi tinggi untuk menyertai pertandingan.

“Sebelum ini saya hanya dapat bercerita kepada anak-anak keseronokan permainan ini namun kini mereka juga dapat merasakannya sendiri,” katanya.

SUMBER PENDAPATAN SAMPINGAN

Selain menjadi hobi memelihara belalang, aktiviti mencari belalang kerek menjadi salah satu sumber pendapatan sampingan bagi mereka yang rajin melakukannya.

Lazimnya, belalang jenis itu mudah didapati di kawasan semak mahupun di kawasan ladang kelapa sawit dan penangkapannya tidak memerlukan peralatan khusus.

Menurut Azman Nawi, 56, dia mula berjinak-jinak dalam aktiviti menangkap serangga itu sejak beberapa bulan lalu selepas melihat potensinya.

AZMAN Nawi menangkap belalang di sekitar hutan sekitar rumahnya di Kampung Sungai Tong, Setiu. – MINGGUAN/PUQTRA HAIRRY

Permintaan yang tinggi terhadap belalang kerek membolehkannya dijual pada harga RM10 seekor atau lebih tinggi.

“Saya mempunyai 13 ekor belalang yang sering dibawa menyertai pertandingan sama ada di Terengganu atau Kelantan tetapi apabila sering mengikuti pertandingan, ia mencetuskan idea untuk saya menjual belalang.

“Biasanya aktiviti mencari belalang ini dilakukan selepas waktu Isyak sehingga subuh dan itidak boleh dilakukan dalam kelompok yang ramai,” katanya.

Katanya, untuk menangkap haiwan itu perlu mencari berdasarkan bunyi bagi memastikan kedudukan dan penangkapannya dilakukan dengan pantas.

Azman berkata, dalam satu malam dia mampu menangkap sehingga 20 ekor belalang dan mencecah 100 ekor dalam tempoh seminggu yang menghasilkan keuntungan kira-kira RM1,000.

Bagi individu yang baru bermula dengan permainan itu, mereka lebih gemar membelinya berbanding mencari sendiri kerana kurang kemahiran untuk mendapatkan belalang yang berkualiti dan mempunyai suara nyaring.

PENJAGAAN SERANGGA KECIL

Belalang kerek galak berbunyi dalam keadaan gelap yang mana sangkar kecil perlu dilitupi dengan kain atau kelambu.

“Setiap pagi, belalang ini perlu dimandikan dengan disembur air. Selain itu makanan yang diberikan adalah sayur-sayuran atau buah-buahan yang terdapat di rumah,” katanya.

Belalang yang dipelihara lazimnya diletakkan dalam sangkar khas yang ditempah secara khusus atau dibeli oleh pemiliknya.

Selain pertandingan belalang, sangkar serangga berkenaan turut dipertandingkan dalam kategori terbaik.

Pelbagai jenis sangkar dipamerkan termasuk bertemakan rumah tradisional mahupun bentuk serangga itu yang turut dicat bagi memperlihat kecantikan dan keunikannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN