Belalang gurun ‘serang’ lokasi pelancongan Sepanyol - Utusan Malaysia

Belalang gurun ‘serang’ lokasi pelancongan Sepanyol

RIBUAN belalang gurun ‘menyerang’ Kepulauan Canary, Sepanyol. X/@rtvenotcias
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID: Satu mesej amaran dikeluarkan di empat lokasi percutian popular Sepanyol selepas sejumlah belalang gurun ‘menyerang’ Kepulauan Canary.

Pihak berkuasa di Lanzarote, Tenerife, Gran Canaria dan Fuerteventura menyatakan serangga bersaiz besar itu tidak mendatangkan bahaya kepada orang ramai.

Namun, ia memberi amaran belalang itu boleh mengancam tanaman jika jumlahnya meningkat mendadak seperti yang pernah berlaku 20 tahun lalu.

Video yang dikongsi di media sosial memaparkan ratusan belalang berpusar di kawasan luar bandar. Serangga itu dipercayai ditiup angin dari Sahara Barat susulan cuaca panas dan lembab kebelakangan ini.

Belalang berkenaan, yang dikenali secara tempatan sebagai Barbary cigarron atau nama saintifiknya, Schistocerca gregaria dikesan berterbangan di seluruh Lanzarote termasuk kawasan tumpuan pelancong seperti Arrecife, Costa Teguise, Famara, Uga dan Tahiche.

Dua dekad lalu, sejumlah spesies sama menyebabkan kemusnahan tanaman dan mengganggu kehidupan harian di pulau itu, dengan pasukan bomba dikerahkan di beberapa kawasan bagi menangani serangan berkenaan.

Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), ia merupakan migrasi serangga perosak paling buruk di dunia dalam keadaan persekitaran tertentu dan boleh membentuk kawanan padat yang bergerak pantas. 

Ia berupaya memusnahkan tanaman kerana mampu memakan makanan menyamai berat badannya sendiri setiap hari, sehingga menjadikannya antara faktor yang mempercepatkan berlaku kebuluran di Afrika dan Asia Barat.

“Jika kita melihat proses mengawan, itu bermakna serangga ini sedang membiak. Kita perlu memantaunya sepanjang dua hari,” kata Ketua Alam Sekitar Cabildo, Francisco Fabelo.

Kepulauan Canary pernah mengalami antara episod belalang gurun paling serius pada Oktober 1958, apabila kawanan besar dari Afrika memusnahkan tanaman, khususnya di selatan Tenerife dan di kawasan perbandaran seperti Arico, Fasnia, Granadilla de Abona serta Lembah Guimar.

Ladang tomato dan kentang mengalami kerosakan besar manakala wabak itu memaksa pesawat-pesawat dari Kementerian Pertanian dikerahkan melakukan semburan racun dari udara.

Penduduk dan petani cuba memerangi serangga itu dari darat menggunakan kaedah asas seperti unggun api, bunyi bising atau umpan beracun. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN