PUCHONG: Derita bertarung kesakitan akibat kecederaan saraf tunjang tidak mematahkan semangat pelajar Orang Kurang Upaya (OKU), Muhamad Faiq Sufyan Mohammed Yusof, 19, mencapai kejayaan dalam Sijil Pelajaran Malaysia 2025.
Pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra Perdana itu berkata, dia menjawab kesemua kertas peperiksaan di atas katil Hospital Cyberjaya.
“Saya berjaya memperoleh keputusan yang membanggakan iaitu satu Kepujian Tinggi, empat Kepujian Atas, dan satu Lulus,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam
Bapanya, Mohammed Yusof berkata, penderitaan Muhamad Faiq bermula pada Disember 2021 apabila membuat pembedahan untuk membetulkan tulang belakang akibat penyakit scoliosis tahap teruk.
“Pembedahan tersebut memasukkan dua batang besi dan 19 skru dan dia terpaksa terlantar di hospital selama lapan bulan akibat lumpuh.
“Faiq tertinggal pelajaran dari Tingkatan Tiga hingga Tingkatan Lima dan berjuang selama setahun sahaja untuk menduduki SPM,” katanya.
Katanya, cabaran terbesar yang dihadapi Muhamad Faiq adalah kekejangan otot yang teruk pada bahagian kaki dan seluruh badan, terutama apabila dia berasa tertekan.
“Ubat penahan sakit yang diambil memberikan kesan sampingan yang menyebabkan dia sering berasa sangat mengantuk ketika mengulangkaji pelajaran.
“Pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) terpaksa mengarahkan kesemua peperiksaan dijalankan di hospital selepas Muhamad Faiq diserang kekejangan ketika ujian lisan di sekolah.
“Pihak hospital sendiri memaklumkan belum pernah ada kes pesakit dimasukkan ke wad semata-mata untuk menduduki peperiksaan,” katanya. – UTUSAN










