KUALA LUMPUR: Pencapaian keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 bagi Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) disifatkan sebagai paling membanggakan sejak penubuhan institusi itu 60 tahun lalu.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, peningkatan Gred Purata Maktab (GPM) yang mendadak juga telah membuktikan dedikasi luar biasa guru dan pelajar dalam mengangkat prestasi akademik MRSM.
“Ini pencapaian paling membanggakan setelah tertubuhnya MRSM dan paling manis ketika MRSM memasuki usia 60 tahun,” katanya pada Majlis Apresiasi Kecemerlangan SPM 2025 di sini semalam.
Tambah beliau, lonjakan paling menonjol dicatatkan MRSM ATM Bera, Pahang dan MRSM Bagan Datuk, Perak apabila kedua-duanya merekodkan peningkatan GPM tertinggi berbanding SPM 2024.
“MRSM ATM Bera meningkat 0.752 dan MRSM Bagan Datuk meningkat 0.463 daripada segi GPM. MRSM ATM Bera berada di kedudukan kelapan terbaik dengan GPM 1.710 manakala MRSM Bagan Datuk di kedudukan kesembilan dengan GPM 1.732,” katanya.
Prestasi itu turut memaparkan pengukuhan program Ulul Albab apabila empat MRSM Ulul Albab berada dalam 10 terbaik iaitu MRSM Gemencheh, MRSM ATM Bera, MRSM Bagan Datuk dan MRSM Kota Putra.
MRSM Bagan Datuk turut mencatat pencapaian tersendiri apabila menduduki ranking pertama daripada semua MRSM dalam subjek Pendidikan Islam.
“Sebanyak 19 MRSM mencatat GPM di bawah 2.000 sekali gus mencerminkan peningkatan kualiti akademik merentas rangkaian MRSM.
“Pencapaian individu pula menyaksikan 80 calon MRSM memperoleh semua A+ dalam semua subjek diambil,” katanya lagi. – UTUSAN










