PETALING JAYA: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperkukuh komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi Program Ziarah Kasih dengan menyalurkan sumbangan RM1,000 dalam bentuk Simpan SSPN Prime kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Sumbangan tersebut disampaikan kepada pelajar cemerlang SPM 2025, Nur Surfina Arissa Shukri Abdullah yang memperoleh keputusan 8A, dalam satu kunjungan di kediamannya di Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat, Pulau Pinang.
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, PTPTN pada hari ini terpanggil untuk menyalurkan sumbangan CSR berjumlah RM1,000 dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime.
Beliau berkata, pelajar berkenaan diuji dengan kehilangan ibu tersayang, Allahyarhamah Suriati Dollah pada 16 Mac 2026, beberapa hari sebelum sambutan Aidilfitri akibat penyakit kanser.
“Sumbangan yang diberikan ini bertujuan membantu meringankan beban kewangan pelajar untuk persediaan awal melanjutkan pengajian ke Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).
“Ujian kehilangan ibu pastinya memberi kesan yang amat mendalam dan menjadi cabaran besar buat beliau dalam meneruskan kehidupan dan mengejar cita-cita tanpa kehadiran insan tersayang di sisi.
“Justeru, PTPTN berharap sumbangan ini dapat menjadi pemangkin semangat beliau untuk terus melangkah ke hadapan demi masa depan yang lebih cemerlang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Norliza, PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus komited dalam meningkatkan pelaksanaan program-program CSR.
“Ia terutamanya dalam aspek pendidikan demi pembangunan anak bangsa selari dengan moto PTPTN, Peluang Kejayaan Anda dan tagline PTPTN Prihatin : Kami Kongsi, Kami Bantu,” katanya. – UTUSAN










