Malaysia bantu Australia

Malaysia bantu Australia

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese yang dalam rangka lawatan rasmi selama tiga hari ke negara ini bermula kelmarin, di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya, semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia sedia membantu Australia memenuhi ke­perluan bahan apinya mengambil kira kedudukan negara itu sebagai pembekal utama produk pertanian dan daging kepada Malaysia dan negara serantau.

Hampir 60 peratus bekalan gandum Malaysia serta 75 peratus daging kambing dan lembu di negara ini diperoleh dari Australia.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan itu dibuat atas dasar persahabatan antara kedua-dua negara dan selepas kerajaan menerima jaminan daripada syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas) yang bersedia menyalurkan lebih bekalan ke negara berkenaan.

Perdana Menteri pada masa sama menegaskan, keutamaan kerajaan tetap memastikan be­kalan bahan api domestik mencukupi bagi memastikan ketahanan ekonomi negara.

Beliau berkata, bagi tujuan tersebut, Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese dija­dual mengadakan perbincangan de­ngan Petronas untuk memacu kerjasama dalam bidang tenaga antara kedua-dua negara ter­utama gas asli cecair (LNG).

Katanya, kedua-dua pihak te­lah memberi tanggungjawab penuh kepada Petronas dan pihak berkuasa Australia yang berkaitan untuk meneruskan perbincangan terperinci selepas rundingan dua hala sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kerasama mendepani cabaran tenaga global yang berterusan.

“Kita turut menandatangani Kenyataan Bersama mengenai keselamatan tenaga yang mencerminkan komitmen untuk memastikan bekalan tenaga yang stabil dan berdaya tahan.

“Saya telah menyatakan kepada Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese dan ingin saya ulangi secara terbuka bahawa Malaysia akan sentiasa menjadi rakan yang boleh dipercayai kepada Australia serta akan bersama dalam susah dan senang,” katanya dalam sidang akhbar bersama ketika lawatan rasmi Perdana Menteri Australia itu ke Malaysia di Kompleks Perdana Putra, di sini semalam.

Dalam pada itu, Albanese berkata, kerjasama berkenaan memberi manfaat kepada ke­dua-dua negara yang mana Australia merupakan pengeksport utama LNG ke Malaysia dan pada masa sama, pihaknya menerima pelbagai produk dari Malaysia termasuk bahan api dan baja.

“Kami telah menugaskan Petronas serta kementerian saya untuk meneruskan usaha lanjut bagi menangani cabaran besar yang dihadapi kedua-dua negara ketika ini, sebagaimana juga yang berlaku di seluruh dunia.

“Australia amat yakin akan terus memenuhi kontrak sedia ada dengan Malaysia kerana kami melihat jaminan bekalan ini sebagai sesuatu yang sa­ngat penting dalam hubungan serantau,” katanya.

Beliau berkata, sumber Australia membantu menjana tenaga di rantau ini, manakala sektor pertanian negara itu pula menyumbang kepada bekalan makanan serantau.

Menurutnya, hampir 60 peratus bekalan gandum Malaysia serta 75 peratus daging kambing dan lembu di negara ini diperoleh dari Australia.

“Pada masa sama, negara jiran memahami bahawa pembekalan bahan api dan baja kepada Australia turut membantu memastikan bekalan makanan di rantau ini kekal mencukupi.

“Kita saling bergantung antara satu sama lain dalam sumber tenaga termasuk petroleum mentah dan gas asli, selain baja urea dari Malaysia yang membantu Australia menghasilkan tanaman seperti gandum yang kemudiannya dibekalkan ke sini,” katanya.

Selain sektor tenaga, Malaysia dan Australia juga sepakat dalam memperkukuh perdagangan daging halal yang akan menjamin bekalan makanan halal negara, pada masa sama turut membuka lebih banyak peluang pekerjaan di Australia.

Kedua-dua pemimpin menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Australia (DAFF) membabitkan kerjasama strategik dalam sektor daging merah halal.

Kedua-dua pemimpin turut menyentuh usaha memper­dalam hubungan perdagangan dan ekonomi termasuk menerusi pelaksanaan strategi ekonomi Asia Tenggara Australia hingga 2040.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN