TEMERLOH: Kenaikan mendadak harga bahan binaan dan sewa jentera antara 25 hingga 35 peratus akibat peningkatan harga diesel menjerut kontraktor kecil, sederhana dan besar ke dalam dilema kritikal, sekali gus mengancam kelangsungan projek pembinaan di seluruh negara.
Naib Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Abd. Gapar Lambak berkata, kontraktor kini berdepan keputusan sukar sama ada meneruskan projek dengan risiko kerugian besar atau menghentikan kerja dan berdepan kemungkinan disenarai hitam pihak prinsipal.
Beliau yang juga Yang Dipertua PKMM Pahang menegaskan, keadaan itu bukan sahaja menjejaskan kontraktor, malah memberi kesan rantaian kepada industri pembinaan negara termasuk kelewatan jadual projek dan risiko terbengkalai.
“Bagi kontraktor yang bakal menerima Surat Setuju Terima (SST) atau inden kerja, mereka mempunyai pilihan untuk menolak tawaran kerana harga yang ditetapkan tidak lagi relevan dengan kos semasa.
“Langkah itu terpaksa diambil kerana kontraktor tidak mampu menanggung beban kos yang melonjak mendadak, sekali gus menjejaskan daya saing mereka dalam industri,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Abd Gapar berkata, PKMM menyokong pelaksanaan semula mekanisme Pengiraan Perubahan Harga (VOP) secara menyeluruh bagi membantu menstabilkan kos projek dan memberi ruang kepada kontraktor untuk bernafas.
Selain itu, beliau menggesa kerajaan memberi peluang rundingan semula harga bagi projek yang sedang berjalan, sama ada melalui tender atau sebut harga, agar selari dengan kenaikan kos semasa.
“Jika tiada langkah segera, banyak projek akan tergendala dan akhirnya menjejaskan pembangunan negara,” ujarnya.
Menurutnya, PKMM turut mencadangkan agar harga siling bagi bahan binaan diperkenalkan bagi mengawal pasaran daripada manipulasi harga yang melampau.
Dalam masa sama, katanya, subsidi bersasar kepada pemain industri pembinaan perlu dipertimbangkan demi kelangsungan sektor pembinaan serta sudah sampai masanya taklimat dan lawatan tapak perlu dilaksanakan secara online sebagai salah satu langkah penjimatan
Abd. Gapar menekankan bahawa sektor pembinaan merupakan nadi kepada pembangunan ekonomi negara, justeru kestabilannya amat penting untuk mengelakkan kesan negatif lebih besar.
“Kerajaan perlu bertindak segera kerana kontraktor kecil dan sederhana adalah tulang belakang industri. Jika mereka tumbang, seluruh ekosistem pembinaan akan terjejas,” katanya. – UTUSAN










