KAJANG: Walaupun lumpuh akibat kanser tulang, Fernandez Minggat berjaya membuktikan bahawa semangat juang boleh mengatasi segala halangan apabila mencatat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Kajang itu memperoleh keputusan 3A-, 2B+ dan 2B walaupun sebahagian besar tempoh persekolahannya dihabiskan di hospital akibat kanser tulang jenis Ewing sarcoma yang menyerang tulang belakang, menyebabkan dia lumpuh dari paras pinggang ke bawah.
Anak sulung daripada tiga beradik yang berasal dari Sibu, Sarawak itu berkata, cabaran yang dihadapinya membuatkan dia lebih tabah dan tidak mudah berputus asa.
“Kalau saya rasa susah, saya ingat masih ada orang lain yang lebih susah daripada saya. Itu yang buat saya teruskan perjuangan dan tidak berputus asa.
“Sekarang saya sudah bebas kanser tetapi masih memerlukan rawatan susulan, saya bercita-cita untuk menyambung pengajian dalam bidang seni di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
“Saya mahu membuktikan bahawa ketabahan dan semangat juang yang tinggi mampu mengatasi segala kekangan fizikal,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman SPM 2025 di SMK Tinggi Kajang, kelmarin.
Sementara itu, ibunya, Roselind Jelanan, 40, berkata, beliau tidak menyangka anak sulungnya itu mampu mencapai kejayaan tersebut.
“Saya hanya berdoa agar dia lulus, tetapi dia dapat keputusan sebegini. Lebih mengejutkan, dia baru sahaja discaj dari hospital pada hari keputusan diumumkan.
“Fernandez langsung tidak hadir ke sekolah sepanjang Tingkatan Tiga dan hanya sempat mengikuti kelas selama lima bulan di Tingkatan Empat,” katanya.
Roselind yang juga bertugas sebagai Pembantu Rawatan Kesihatan di Hospital Permaisuri Norashikin berkata, beliau juga terpaksa mengambil cuti tanpa gaji selama tiga bulan untuk menjaga anaknya sepanjang tempoh rawatan.
“Anak saya terpaksa berulang-alik ke hospital untuk menjalani rawatan, termasuk sesi kemoterapi dan fisioterapi.
“Sepanjang tempoh itu, saya ambil cuti tanpa gaji selama tiga bulan untuk menjaga dia sepenuh masa. Tanpa sokongan guru dan sekolah, saya rasa mustahil dia boleh capai keputusan ini,” katanya.
Roselind berkata, guru-guru di SMK Tinggi Kajang memainkan peranan penting dengan menyediakan kemudahan khas seperti laluan (ramp) untuk memudahkan pergerakan Fernandez ke kelas, selain memberi bimbingan tambahan dalam subjek-subjek tertentu.
“Usaha itu membuahkan hasil apabila Fernandez memperoleh A dalam beberapa subjek utama,” katanya. – UTUSAN










