Bersatu sukar terima parti Hamzah

Bersatu sukar terima parti Hamzah

AHMAD FAIZAL AZUMU DAN HAMZAH ZAINUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengakui sukar menerima parti baharu Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam Perikatan Nasional (PN).

Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr. Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara itu berpunca daripada pendirian Hamzah yang sebelum ini menjalinkan kerjasama dengan pihak lawan tanpa memaklumkan kepada kepimpinan parti.

“İni jelas menunjukkan beliau mempunyai agenda peribadi. Sukar bagi kami untuk mene­rima Hamzah kerana dia bertindak sendirian tanpa penge­tahuan kepimpinan presiden kami.

“Tentunya parti komponen lain akan faham perasaan Bersatu dan saya yakin rakan-rakan dalam PN akan menghormati perasaan kami sebagai rakan gabungan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kata Ahmad Faizal lagi, sebarang keputusan mengenai perkara itu perlu dirujuk kepada kepimpinan PN selaras dengan prinsip konsensus dalam parti.

“Semua permohonan mesti dirujuk dan sebaiknya kita amalkan konsensus dalam parti.

“Saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi tetapi apa jua keputusan perlu dibuat secara konsensus,” katanya.

Mengulas peletakan jawatan Hamzah, Ahmad Faizal berkata, ia merupakan permulaan positif bagi kepimpinan baharu PN.

“Beliau telah dinasihati untuk meletakkan jawatan sejak dipecat oleh Lembaga Disiplin parti Bersatu dan akhirnya, beliau terpaksa menurut nasihat berkenaan. Ini adalah satu perkembangan yang amat baik bagi dirinya.

“Setahu saya, beliau pernah berbai’ah dan menandatangani satu akuan sumpah dengan parti Bersatu. Saya berpandangan, apabila kita pernah bersumpah dengan kalimah Allah, kita wajib berpegang kuat kepada sumpah yang pernah dilafazkan.

“Maka, sudah tiba masanya beliau melangsaikan setiap patah perkataan yang pernah beliau ungkapkan sendiri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN